Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

“Asif Memang Fobia Dengan Jarum…Nak Pujuk Dia Ambil Vaksin Saya Terpaksa ‘Ugut’ Kalau Nak Berlakon…” – Syahmi

Fiza Kamarudin
12/08/2021 08:49 MYT
Sejak semalam, tular video di laman sosial Instagram Syahmi Sazli gelagat teman istimewanya Asif Suhaimi di Pusat Pemberian Vaksin (PPV).

Menerusi video tersebut, Asif yang baru kali pertama mendapatkan suntikan vaksin dilihat sangat takut ketika petugas kesihatan mahu menyuntik lengannya.

Syahmi ketika dihubungi Gempak berkata mereka mengambil masa sehingga dua jam untuk memujuk Asif.

“Sebenarnya Asif memang tak nak pergi cucuk sebab dia fobia dengan jarum. Dulu pernah sekali dia demam kami bawa ke klinik dan doktor nak ambil darah.

“Masa tu pun memang empat lima orang pegang dia. Nak dijadikan cerita, tercucuk di tempat lain dan berdarah dan bila nak ambil sekali lagi, tak boleh dah dia tak mau.

“Apa yang saya buat untuk pujuk dia ambil vaksin, saya ‘ugut’ dia…Saya kata kalau nak berlakon atau nak pergi jalan-jalan, bercuti kena ambil vaksin,” katanya.

Tambah Syahmi dia sudah menjangkakan kesukaran pasti berlaku dan sudah bersedia untuk itu.

“Macam yang anda semua tonton dalam video tu, itulah dia…Selepas lebih satu jam pujuk dan ‘trick’ macam-macam akhirnya berjaya juga walaupun makan masa dua jam.

“Memang dah tak ada cara lain. Petugas-petugas kesihatan terpaksa pegang dia kalau tidak dia nak balik. Nak tak nak kena buat macam tu.

“Terima kasih kepada petugas kesihatan sebab bersabar sehingga berjaya memberikan suntikan kepada Asif,” katanya.

A post shared by Syahmi Sazli (@syahmisazli)


Menurutnya, dia dan Asif mendapat suntikan Sinovac dan bakal mendapat suntikan kedua 1 September ini.

Dalam pada itu Syahmi turut berpesan kepada orang ramai supaya tidak ragu-ragu mengambil suntikan vaksin.

“Kalau Asif yang istimewa itu pun tahu tanggungjawabnya untuk mengambil vaksin, takkanlah anda yang sempurna tidak?

“Kalau kita nak mencapai imuniti kelompok, pergilah ambil vaksin untuk kebaikan bersama juga. Yo Parey dan Abdul pun dah lengkap dua dos,” katanya.

Ditanya mengenai perkembangan terikini, Syahmi tidak menafikan agak terkesan dengan pandemik Covid-19.

“Memang sangat memberi kesan kepada saya sebagai ‘content creator’ kerana tak boleh shooting. Saya pun tak mahu ambil risiko. Ada yang tawarkan saya beberapa job dan suruh ‘shoot’ senyap-senyap tapi saya tolak dengan baik.

“Sebab bagi saya sembunyi macam mana pun orang tetap akan nampak dan datang ke tempat shooting tu.

“Nak-nak lagi varian Delta dengan mengganas, saya tidak akan buat penggambaran sehingga mendapat kebenaran kerajaan,” katanya.
#Vaksin #Asif Suhaimi #COVID-19 #Syahmi Sazli #Sinovac
;