Selepas kejayaan filem Mael Totey: The Movie, Youtuber popular Syahmi Sazli kembali dengan filem baharu berjudul 35mm.

Menariknya, filem ini membariskan bintang-bintang popular seperti Syahmi sendiri, Asif Suhaimi dan Yoe Parey.

Menerusi perkongsian poster filem di akaun Instagram Syahmi, rata-rata peminat melahirkan rasa tidak sabar untuk menyaksikan filem berkenaan yang dijadualkan menemui penonton di Astro First pada 21 Jun.

35mm mengisahkan tentang tiga sahabat, Syahmi, Asif dan Yoe yang terperangkap dalam penggambaran ke beberapa zaman berlainan selepas membeli sebuah kamera antik.

Antara zaman yang dilewati oleh tiga sahabat itu termasuklah zaman Dinasti Cina, era jajahan Jepun dan juga British.

Setiap era yang dilewati oleh Syahmi, Asif dan Yoe pasti mempunyai cabaran yang perlu dihadapi bagi meloloskan diri.

Apabila mereka berada di tahun 1997, Yoe berasa hiba kerana buat pertama kalinya, dia berpeluang berjumpa dengan ibu bapanya.

Begitpun, mereka terpaksa mencari jalan dengan apa cara sekalipun untuk kembali pada tahun 2020.