Anugerah Skrin 2018 (ASK 2018) melabuhkan tirainya malam tadi. Filem Dukun arahan Dain Said telah dinobatkan sebagai Filem Terbaik di anugerah berprestij itu.

Drama bersiri Nur memenangi tiga trofi menerusi kategori Drama Rantaian Terbaik (Kategori Bahasa Melayu), Pelakon Wanita Terbaik Drama Rantaian (Amyra Rosli) dan Pelakon Lelaki Terbaik Drama Rantaian (Syafiq Kyle).

Malam tadi turut menyaksikan karya arahan Rashid Sibir, Pendosa Ingin Ke Syurga dinobatkan sebagai Drama Terbaik.

Berlangsung di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), acara ini dimeriahkan oleh kehadiran artis popular tanah air seperti Datin Seri Umie Aida, Datin Diana Danielle, Izara Aishah, Syafiq Kyle dan ramai lagi.

Seperti biasa, media sosial tertumpu dengan kehangatan ASK 2018 dan netizen sentiasa memberikan komentar mengenai acara gilang gemilang tersebut.

Di sini, Gempak kongsikan kepada anda corat-coret ASK 2018, antaranya :

1. Jalan jam teruk! Disebabkan hujan lebat, trafik di seluruh Lembah Klang mengalami kesesakan teruk! Ramai juga penonton yang lambat memasuki dewan dan terpaksa menunggu 'comercial break' untuk pergi ke tempat duduk masing-masing.

2. Persembahan pembukaan gamatkan suasana! Seluruh dewan bergema menyaksikan persembahan pembukaan dari Altimet dan Amelia Henderson berkolaborasi bersama Raja Syahiran dan Shawn Lee dalam menyampaikan lagu Amboi.

3. ASK 2018 menampilkan kelainan apabila tiada hos tetap yang mengacarakan anugerah ini, sebaliknya memilih 12 selebriti popular untuk menyampaikan 24 kategori anugerah.

4. Ketika iklan berlangsung, Jaclyn Victor mencuba mikrofon dengan menyanyi untuk beberapa saat, namun ia tetap mendapat sorakan meriah dari para penonton.

5. ASK 2018 turut menampilkan persembahan silap mata dari Andrew Lee. Izara Aishah kelihatan tergamam dan takut melihat aksi menjerut leher menggunakan tangsi yang dilakukan dihadapannya.

6. Ketika menyampaikan anugerah, Elly Mazlein berjaya mencuit hati penonton dengan lawak gedik dan manjanya. Bukan itu sahaja, Elly turut membuatkan penonton ketawa apabila dia terlupa untuk membaca nama calon kategori yang sedang disampaikan kerana terlalu 'syiok' berlawak di atas pentas.

7. Di ruangan Twitter, ramai netizen yang memuji cara Elly Mazlein dan Shuk Sahar mengendalikan acara itu.





8. Gaya rambut Ayda Jebat juga turut diperkatakan netizen. Di laman Twitter, ada yang bergurau mengatakannya seperti bentuk microphone. Selain itu, ramai turut memuji kebolehan Ayda ketika menyampaikan anugerah bersama Sharnaaz Ahmad dan ada juga yang mencadangkan agar mereka berdua dipilih sebagai pengacara ASK tahun hadapan.





9. Jay Iswazir memenangi trofi Pelakon Lelaki Terbaik Drama menerusi telefilem Aku Nazmi yang diinspirasikan dari kisah benar seorang jejaka cerebral palsy. Jay mengundang sebak orang ramai apabila turun dan memeluk Nazmi di bawah pentas.





10. "Boleh mati aku macam ni!" respon Sharnaaz Ahmad apabila terkejut dengan letupan confetti selepas kategori Filem Terbaik diumumkannya bersama Ayda Jebat.