HIBURAN
Aslam Anggap Perkongsian Marissa Dania Normal, Bukan Isyarat Galau - "Lagu Ada Banyak, Lirik Pun Macam-Macam"
Ahmad Aslam menafikan hantaran dimuat naik isteri mudanya, Marissa Dania, sebagai petanda galau dan menganggap ia sekadar perkongsian biasa yang mungkin disalah tafsir netizen.
Ahmad Aslam Kasyfun Nazir Rashid, 25, berkata dia tidak mampu menghalang orang ramai daripada membuat spekulasi berhubung rumah tangganya bersama dua isteri termasuk Umisya Mazlan hanya berdasarkan konten di Instagram.
“Kita tak boleh halang tanggapan netizen, tapi semuanya juga bergantung kepada diri kita sendiri. Jika boleh elak daripada salah tafsir orang luar," katanya kepada Gempak.
Mengulas hantaran Marissa yang menggunakan lagu latar nyanyian Shabrina Leanor berjudul Pendampingmu, Aslam berkata penggunaan lagu di media sosial sangat subjektif dan tidak semestinya membawa maksud tersirat.
“Seperti perkongsian dibuat Marissa yang menggunakan latar lagu. Ada pihak salah anggap. Lagu pun ada banyak, lirik juga macam-macam. Ada yang maksudnya kita sendiri susah faham.
"Mungkin seseorang guna lagu itu kerana suka, bukan mahu menyampaikan sesuatu mesej tersembunyi. Semua ini sangat subjektif," tambahnya.
Aslam ditemui pada majlis Wawa Global Kosmetik New Chapter di ibu kota baru-baru ini. Pada majlis sama, Aslam dilantik sebagai wajah kempen krim pelindung matahari Wawa Cosmetics bersama Umisya.
Dalam pada itu, Aslam berkata dia sering menasihati kedua-dua isterinya sebelum mereka memuat naik sebarang hantaran, namun tidak mahu meletakkan sebarang tekanan atau sekatan terhadap apa yang dikongsi.@marissadaniahakim_ Jika kamu tidak diperjuangkan oleh seseorang yang kamu harapkan, kamu akan diperjuangkan oleh seseorang yang mengharapkanmu♬ suara asli - selebrinaa - ꧁SHABRINA FAN࿐
“Memang saya selalu menasihati dan memberi teguran terutama apabila mereka memuat naik hantaran yang menjadi buah mulut orang walaupun hakikatnya kandungan tersebut bukan bermaksud apa-apa.
"Cuma tidaklah saya tapiskan apa yang boleh dan tidak. Saya hanya serahkan kepada mereka untuk menilai dan membuat keputusan sendiri. Itu lebih baik," jelasnya.
Sebelum ini, beberapa perkongsian Marissa yang juga anak kepada Abby Abadi dan Norman Hakim mencetuskan spekulasi kerana dianggap memberi bayangan perasaan tertekan sebagai isteri kedua.
Marissa dan Aslam pernah mengejutkan ramai apabila berkahwin di Thailand ketika Umisya mengerjakan umrah. Perkahwinan itu berlaku tanpa pengetahuan isteri pertama dan menjadi perbualan hangat netizen.
Walaupun kedua-dua isteri kini dilihat lebih tenang dan menerima kehidupan berpoligami, kehidupan rumah tangga mereka masih terus diperhatikan netizen.
Must-Watch Video