Laman Utama
ASP Wanita Buat TikTok Live Semasa Serbuan Dikecam, Timbalan Ketua Polis Negara Arah Pegawai Disiasat!
Seorang pegawai polis wanita berpangkat Asisten Superintendan (ASP) dikecam selepas membuat rakaman video secara langsung menerusi aplikasi TikTok semasa melakukan serbuan.
Menerusi platform Twitter, video yang dirakam pegawai wanita terbabit yang dipercayai diambil sewaktu menjalankan pemeriksaan ke atas sebuah pusat hiburan bersama beberapa pegawai dan anggota lain tular.
Dalam video berdurasi seminit 38 saat itu, pegawai polis wanita berpakaian jaket seragam operasi Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu dilihat menerangkan sebahagian skop kerjanya menjalankan serbuan dan pemeriksaan.
Dia juga sempat menyampaikan salam dan memperkenalkan beberapa anggota dan pegawai polis yang terbabit dalam serbuan itu.
Malah, dia turut kelihatan teruja apabila siaran langsung itu mendapat 1,900 tontonan, sambil meminta sokongan untuk mencapai sasaran 100,000 pengikut di akaun media sosialnya itu.
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
Di laman Twitter, video tersebut mengundang kecaman ramai kerana mendakwa pegawai polis wanita itu mengambil peluang ketika operasi untuk mencari 'content' atau bahan bagi tujuan mempromosikan akaun TikTok.
Susulan dengan penularan video terbabit, Jabatan Integriti Pematuhan Standard (JIPS) diarah menyiasat mengenai video siaran langsung yang dilakukan oleh pegawai polis wanita yang didakwa dilakukan sewaktu serbuan di sebuah pusat hiburan.
Arahan itu dikeluarkan Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Razarudin Husain, yang turut mengesahkan pihaknya kini sedang meneliti bila dan di mana siaran langsung itu dilakukan.
Saya sudah arahkan JIPS untuk ambil tindakan terhadap pegawai terbabit termasuk memanggilnya bagi mendapatkan kenyataan berhubung tindakannya membuat siaran secara langsung semasa operasi itu.
"Kita juga ingin mengetahui motif dan tujuan sebenarnya membuat rakaman menerusi akaun TikTok itu," katanya.
Terdahulu, seorang pegawai polis wanita berpangkat Asisten Superintendan (ASP) dikecam selepas membuat rakaman video secara langsung menerusi aplikasi TikTok semasa melakukan serbuan.
Video berdurasi seminit 38 saat itu dipercayai sewaktu menjalankan pemeriksaan ke atas sebuah pusat hiburan bersama beberapa pegawai dan anggota lain.
Razarudin berkata, satu arahan berhubung penggunaan media sosial dalam kalangan pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) terutama membabitkan aplikasi TikTok akan dikeluarkan JIPS hari ini.
"JIPS tidak akan berkompromi dalam perkara ini dan akan mengambil tindakan tegas sekiranya benar pegawai terbabit mempunyai motif merakam video berkenaan semata-mata mengumpulkan pengikut laman sosial akaun TikTok miliknya," katanya.
Pada Ogos 2020, PDRM pernah mengeluarkan arahan melarang pegawai kanan dan pegawai rendahnya memuat naik perkongsian peribadi semasa berpakaian seragam di platform media sosial.
Dalam larangan berkenaan, Bukit Aman memandang serius tindakan pegawai dan anggotanya merakam, memuat naik video tarian dan lain-lain aksi semasa berpakaian seragam menerusi platform media sosial seperti Youtube, Whatsapp, TikTok dan aplikasi lain bagi tujuan mendapat tontonan yang tinggi.