BERITA

Asrama Pelajar Tahfiz Terbakar

Gempak 17/06/2025 | 06:25 MYT
Sebuah asrama yang menempatkan pelajar tahfiz serta sebuah rumah musnah dalam kebakaran di Maahad Tahfiz Ar-Rahman, Kampung Warisan, Sabah pada Isnin.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.30 pagi itu, kesemua pelajar tahfiz sempat menyelamatkan diri sebelum asrama tersebut musnah sepenuhnya.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kinabatangan, Hairi Utoh, berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 11.43 pagi.

Katanya, seramai enam anggota bergegas ke lokasi yang terletak kira-kira empat kilometer dari BBP Kinabatangan.

"Menurut komander operasi, kejadian melibatkan sebuah asrama tahfiz jenis kekal yang terbakar sepenuhnya serta sebuah kediaman jenis separuh kekal yang turut terbakar 100 peratus, selain sebuah kenderaan.

"Semasa kejadian, terdapat pelajar tahfiz di dalam bangunan tersebut, namun mereka semua berjaya menyelamatkan diri," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Selasa.

Tambahnya, operasi memadam kebakaran dilakukan menggunakan sumber air dari tangki jentera.

"Api berjaya dikawal sebelum operasi ditamatkan pada jam 2.45 petang.

"Hasil pemeriksaan lanjut mendapati tiada mangsa dilaporkan cedera dalam kejadian ini," katanya.

Sementara itu, dalam kejadian berasingan, dua buah rumah dan enam buah kenderaan terbakar di Kampung Bukit Vor, Putatan, pada tengah malam Isnin.

Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah malam itu, seramai 29 anggota dari BBP Putatan, BBP Kota Kinabalu dan BBP Penampang bergegas ke lokasi kejadian untuk melaksanakan operasi pemadaman.

Sumber: Sinar Harian

#Terbakar #Pelajar #Asrama #Thafiz