HIBURAN

Astro & Astro Audio Sumbang RM5.2 Juta, Rakan Strategik Platinum HKHM 2025

Amri Hassan 23/08/2025 | 07:55 MYT
Astro Malaysia Holdings Berhad bersama Astro Audio dengan penuh semangat nasionalisme mengumumkan sumbangan penajaan berjumlah RM5.2 juta kepada Program Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2025 (HKHM 2025).

Sumbangan ini sekali gus mengangkat Astro Audio sebagai Rakan Strategik Platinum, menyokong usaha kerajaan menyemarakkan semangat patriotisme dan kebersamaan rakyat Malaysia.

Majlis penyerahan berlangsung dalam suasana penuh simbolik apabila Ketua Pengarah Astro Audio, Priya Dharshini Prabakaran, menyerahkan cek cura kepada Menteri Komunikasi, YB Fahmi Fadzil.

Menurut Priya, penyertaan Astro Audio dalam HKHM 2025 bukan sekadar soal penajaan, tetapi lambang komitmen syarikat dalam membina sebuah negara yang progresif dan penuh harapan.

"Sebagai peneraju kandungan audio di Malaysia, Astro Audio percaya suara rakyat adalah nadi perpaduan dan melalui platformnya, kisah inspirasi, suara generasi muda serta semangat kebangsaan akan terus disampaikan merentasi budaya dan bahasa," katanya.

Priya menambah bahawa HKHM bukan sekadar sambutan tahunan, sebaliknya detik penting untuk rakyat Malaysia meluahkan rasa cinta dan bangga terhadap tanah air.

"Astro Audio akan memastikan semangat ini sampai ke seluruh pelusuk negara, dari bandar hingga ke desa, melalui kandungan audio yang menyentuh hati serta menyatukan jiwa," tambahnya.

Sebagai Rakan Strategik Platinum, Astro Audio akan berganding bahu dengan kerajaan dalam menjayakan pelbagai pengisian HKHM 2025.

Antara inisiatif utamanya termasuklah siaran luar KITA FM bersama Radio RTM pada 31 Ogos di Dataran Putrajaya yang bakal membawa liputan langsung dan kandungan patriotik kepada jutaan pendengar sempena Hari Kebangsaan.

Astro Audio juga akan menggerakkan Jelajah KITA FM yang menggunakan Bas Hop On Hop Off, menjelajah ke seluruh negara bagi menyampaikan mesej perpaduan dan semangat kebangsaan secara lebih dekat kepada rakyat Malaysia daripada pelbagai lapisan.


Sumbangan ini turut melengkapi kempen “Inilah KITA, Sehati Bersama” anjuran Astro Malaysia Holdings Berhad yang bermula pada 15 Ogos hingga 16 September 2025.

Kempen berkenaan mengetengahkan naratif perpaduan dalam kepelbagaian dengan pelbagai pengisian menarik termasuk saluran khas KITA Channel (Saluran 100), dokumentari istimewa Kisah Perpaduan Inilah KITA, acara Hello Inilah KITA, larian komuniti KITA Run, serta lagu tema Merdeka berjudul Bangkit Malaysia nyanyian Hael Husaini.

Astro Audio menegaskan tekadnya untuk menjadikan HKHM 2025 bukan sahaja sambutan yang meriah tetapi juga bermakna dan mampu menyatukan seluruh rakyat Malaysia.

Orang ramai boleh menikmati kandungan istimewa sempena kempen ini dengan memuat turun aplikasi 11 stesen radio Astro Audio yang tersedia di App Store, Google Play Store dan Huawei AppGallery, menawarkan pilihan muzik, berita, gosip hiburan, motivasi serta lagu-lagu klasik di hujung jari.
#Astro Radio #Platinum #HKHM