Tidak ramai yang mengetahui cara pengendalian barangan elektrik dan elekronik terbuang termasuk kesannya terhadap alam sekitar.

Oleh sebab itu, bagi meningkatkan kesedaran masyarakat, Astro Malaysia Holdings Berhad (Astro) mengambil pendekatan untuk melancarkan Program Kitar Semula E-Waste Astro atau Astro E-Waste Recycling Programme.

Menariknya, dengan setiap satu tan bahan terbuang melalui program berkenaan, Astro akan menyumbangkan sebuah laptop kepada pelajar memerlukan.

Dalam satu kenyataan, Astro berkata, ia juga salah satu cara untuk memperkasakan komitmen dalam mempromosi alam sekitar yang lebih lestari dan selamat, terutama untuk meningkatkan kesedaran dalam kalangan kakitangan.

Inisiatif ini dilancarkan bersempena dengan Hari E-Waste Sedunia dan disempurnakan oleh Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar, Wan Abdul Latiff Wan Jaffar, pada Khamis.

Sementara itu, Wan Abdul Latiff berkata, adalah penting untuk semua pihak berusaha meningkatkan kesedaran orang ramai bahawa buangan elektrik dan elektronik perlu diurus dengan cara yang terbaik untuk melestarikan alam sekitar.

"Ini bermakna buangan atau E-Waste ini tidak boleh dilupuskan di tempat sembarangan, tidak boleh dilupuskan di tapak-tapak pelupusan sampah biasa.

"Ia perlu diurus secara lestari yang mana kita telah menyediakan pusat-pusat pengumpulan E-Waste dan selepas itu ia akan diperoleh kembali dan E-Waste tersebut dilupus secara selamat ataupun environmentally sound management.

"Pada masa ini kita sedang menyediakan mekanisma pengurusan E-Waste untuk isi rumah. Jadi dalam menyediakan mekanisme ini, ada dua perkara penting yang kita laksanakan. Pertama ialah mewujudkan kerangka perundangan untuk kita mengawal dari segi pengurusan dan pelupusan E-Waste ini," katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran Program Kitar Semula e-Waste Astro di Astro Bukit Jalil pada Khamis.

Selain Jabatan Alam Sekitar, program ini turut dijalankan dengan kerjasama sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) ERTH Malaysia, iaitu organisasi yang komited untuk meningkatkan kesedaran rakyat Malaysia terhadap cara pengurusan barangan elektrik dan elektronik terbuang.