BERITA

Astro Radio News Dinobat Naib Juara Pesta Pantun HAWANA-DBP 2025

Asyraf Roslan 14/06/2025 | 13:55 MYT

Pasukan pantun Astro Radio News telah melakar pencapaian membanggakan apabila berjaya merangkul gelaran naib juara dalam Pesta Pantun HAWANA-DBP 2025, pertandingan pantun berprestij yang julung kali dianjurkan sempena sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2025.

Pertandingan yang berlangsung di Wisma BERNAMA pada 31 Mei 2025 menyaksikan pasukan Astro Radio News yang diwakili oleh Muhammad Najib Md Nazri, Nurul Izzati Amir Zaimi, Juhaiza Laili Hamzah, dan Fariz Munir Hasbunallah mara ke peringkat akhir.
Mereka telah mempersembahkan pantun yang penuh berisi, kreatif dan berbudaya tnggi ketika menentang wakil dari Jabatan Pengisian Islam TV3, Media Prima Berhad.

Pasukan Astro Radio News diumumkan sebagai naib juara pada Majlis Kemuncak HAWANA 2025 yang berlangsung di WTC Kuala Lumpur pada 14 Jun 2025. Majlis yang penuh berprestij itu turut menyaksikan sesi penyampaian hadiah kepada para pemenang disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurut Ketua Operasi Bilik Berita dan Trafik, Astro Radio News Moganadas Muniandy:

“Kami amat berbangga dengan pencapaian ini yang membuktikan bahawa bakat dan kreativiti warga Astro Radio News bukan sahaja terserlah dalam bidang kewartawanan dan penyiaran, malah turut cemerlang dalam seni budaya tradisional seperti pantun.

“Penyertaan ini juga mencerminkan iltizam kami dalam mengangkat bahasa dan budaya Melayu ke tahap yang lebih tinggi, sejajar dengan nilai yang dibawa oleh sambutan HAWANA,” katanya.

Pesta Pantun HAWANA-DBP 2025 telah disertai oleh 8 pasukan daripada pelbagai agensi media utama negara, termasuk BERNAMA, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), dan Radio Televisyen Malaysia (RTM). Kesemua pasukan bersaing dalam beberapa peringkat iaitu saringan, separuh akhir dan akhir dalam usaha merebut gelaran sulung pertandingan yang dianjurkan bersama oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) serta Sekretariat HAWANA.

Pertandingan ini bukan sahaja menjadi plaƞorm memupuk apresiasi terhadap seni warisan bangsa, malah turut berperanan sebagai wadah mempererat hubungan antara pengamal media pelbagai agensi dalam suasana penuh hormat dan harmoni.

Astro Radio News komited untuk terus menyokong dan menyertai inisiatif yang memartabatkan bahasa Melayu, budaya warisan dan nilai murni dalam kalangan pengamal media serta masyarakat umum.

#Astro Radio News #DBP 2025 #HAWANA #Pesta Pantun