HIBURAN

Astro Radio News Raih Anugerah Perak & Gangsa Laporan Radio Terbaik Hadiah Kewartawanan Malaysia 2024 MPI-PETRONAS

Gempak 21/06/2025 | 02:05 MYT
Astro Radio News mencipta sejarah tersendiri apabila berjaya merangkul tempat pertama dan kedua bagi Kategori Laporan Radio Terbaik sempena Malam Wartawan Malaysia 2025 / Hadiah Kewartawanan Malaysia 2024 MPI-PETRONAS yang berlangsung pada 20 Jun 2025 di Hotel Majestic, Kuala Lumpur.
Anugerah berprestij ini mengiktiraf laporan berkualiti tinggi hasil dedikasi dan profesionalisme wartawan radio tempatan. Nicholas Darren John muncul sebagai penerima Anugerah Perak dengan laporan bertajuk “20th Anniversary Of The Indian Ocean Tsunami”, manakala Muhammad Najib Bin Md Nazri meraih gangsa menerusi laporan berjudul “Dilema Ego Lelaki: Sampai Bila Nak Abaikan Kesihatan?”.
Menurut Ketua Operasi Bilik Berita dan Trafik Astro Radio News, Moganadas Muniandy, kejayaan berganda ini bukan sahaja membanggakan, malah membuktikan bahawa kandungan radio mampu bersaing secara setara dengan medium berita lain dari segi ketajaman analisis, kepekaan sosial dan penceritaan yang menyentuh hati.
“Kejayaan ini adalah bukti bahawa laporan radio yang disampaikan dengan teliti, jujur dan menyentuh isu-isu kemanusiaan mampu memberi kesan yang besar kepada masyarakat. Astro Radio News sentiasa percaya bahawa setiap berita yang kami siarkan bukan sekadar maklumat, tetapi amanah kepada pendengar,” ujar beliau.
“Saya amat berbangga dengan Nicholas dan Najib yang bukan sahaja berjaya mengangkat isu-isu penting — dari tragedi yang merentasi sejarah kepada cabaran kesihatan lelaki yang sering dipandang ringan — malah mempersembahkannya dalam bentuk yang menyentuh emosi dan membuka minda. Ini adalah bukti bahawa wartawan radio juga memainkan peranan besar dalam membentuk kesedaran dan kefahaman masyarakat,” tambahnya lagi.
“Pencapaian ini menjadi pemangkin kepada seluruh pasukan kami untuk terus melangkah ke hadapan, memperjuangkan kewartawanan berkualiti tinggi dan kekal relevan dalam era digital yang mencabar ini.”
Majlis anugerah berkenaan menyaksikan kehadiran hampir 1,000 tetamu yang terdiri daripada tokoh wartawan, pengarang kanan, wartawan, pengamal media dan rakan korporat dari seluruh negara.
Astro Radio News akan terus komited menyampaikan laporan yang tepat, telus dan memberi impak kepada masyarakat, seiring dengan perkembangan semasa dan keperluan pendengar di seluruh negara.
#Astro Radio #Petronas #Anugerah #News #MPI