Laman Utama
Astro Raikan Ramadan Dengan Sajian Rancangan Hiburan Berilmiah, Dipenuhi Pengisian Bermakna
Mengangkat tema Bukalah Hati, syarikat penyiar dan penstriman utama negara menyambut ketibaan bulan Ramadan dengan pelbagai sajian hiburan.
Antaranya merangkumi variasi genre termasuk Islamik, ilmiah serta pengisian kandungan hiburan yang bakal memenuhi keperluan para pelanggan Astro dalam menunaikan ibadah puasa bersama keluarga dan sahabat handai.
Tema kali ini mengangkat elemen kerohanian yang menyeru umat Islam untuk kekal tabah tatkala menghadapi dugaan dan cabaran dengan membuka hati dalam mencari erti keredaan ketika menjalani ibadah puasa.
Menurut Naib Presiden Perniagaan Saluran Melayu Astro, Azlin Reza Azmi, pelbagai rancangan Islamik yang dinamik yang bakal disajikqn ini pastinya akan membawa pelbagai manfaat kepada penonton.
“Tidak kiralah yang tua ataupun muda, pastinya seisi keluarga akan terhibur sambil mendalami erti bulan yang mulia ini.
“Antara sajian kerohanian kami adalah Geng Ngaji, Musim 4, Rockstar Ke Masjid Musim 2, Tahu Ke Tidok: Celik Agama, Jejak Adam 2023 dan Salam Famili yang membawa pengisian mendalam melalui pengertian penghijrahan berdasarkan kisah benar mahupun fiksyen.
“Hiburan drama dan variasi yang disajikan pula akan membawa titipan yang bermakna dalam merungkai kisah-kisah yang menjadi refleksi komuniti kita.
“Banyak pengajaran kehidupan yang dapat diperoleh menerusi kandungan-kandungan di platform Astro termasuk drama Andai Itu Takdirnya, Liar serta Isteri Halal yang pastinya akan mendapat tempat di hati para peminat.
“Manakala drama rantaian Ramadan istimewa kami, Imam Instant Ustazah Scammer turut membawa realiti viral di kalangan komuniti maya kini.
“Kisah-kisah ini diharapkan dapat dijadikan iktibar dan pengajaran berguna dalam kita mengharungi perjalanan duniawi, sambil mengecapi kemanisan ukhrawi.
“Selain itu, istimewa Ramadan ini juga kami bawakan format game show antarabangsa yang paling popular yang telah kami adaptasi iaitu Family Feud Malaysia,” jelasnya.
Dalam pada itu, kempen kali ini juga turut melantik pelakon, Nadhir Nasar sebagai duta kempen korporat Ramadan Raya Astro buat kali kedua.
Manakala pelakon baharu, Qasrina Karim pula dipilih sebagai duta kempen ini buat julung kalinya.
Nantikan senarai rancangan-rancangan menarik di Astro sempena Ramadan selepas ini.