Astro Semarakkan Syawal Dengan Hiburan ‘Meriah Lain Macam’ Istimewa Sempena Raya 2025
Menyambut keistimewaan Syawal dengan caranya tersendiri, peneraju industri hiburan di Malaysia, Astro membawa kemeriahan tahun ini dengan sajian istimewa, menawarkan lebih daripada 160 kandungan Raya yang telah dirancang khas untuk seisi keluarga.
Setiap tahun, sambutan Aidilfitri tidak akan lengkap tanpa iklan yang mengusik emosi atau yang mencuit hati dalam membangkitkan semangat Syawal. Astro meneruskan tradisi iklan Raya berkualiti tinggi dengan ‘Lain Macamnya Raya’, kisah Jumaah, ibu tunggal yang berpegang pada tradisi tetapi diuji dengan kehadiran menantu berbeza adat. Dalam dilema antara warisan dan perubahan, Jumaah menemukan erti sebenar kebahagiaan keluarga.
Menurut Naib Presiden, Melayu, Antarabangsa, Kanak-kanak & On Demand, Astro, Azlin Reza Azmi, “Selari dengan tema tahun ini, Astro membawakan pelbagai kandungan khas yang bukan sahaja menghiburkan tetapi juga menyatukan semua.
Ini juga diterjemahkan menerusi iklan raya kami “Lain Macamnya Raya”, yang mengetengahkan kemanisan dalam kelainan apabila kita terbuka untuk menerimanya. Kami berharap santapan yang kami sajikan sepanjang Syawal ini bukan sahaja menyemarakkan Aidilfitri anda tetapi juga menjadi penghubung dalam menyatukan keluarga dan sahabat handai. Akhir kata, Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin.”
Selain program hiburan buat seisi keluarga, Astro, dengan kerjasama Rocketfuel, turut menampilkan dua buah lagu istimewa Raya yang berjudul ‘Meriah Lain Macam’ nyanyian Hael Husaini dan Nadeera Zaini, serta ‘Nyam Nyam Ketupat’ yang menggabungkan Zizan Razak, Wani Kayrie, Dinda Dania dan Miss Alvy sebagai santapan Raya.
Tanggungjawab Sosial Korporat
Sebagai sebahagian daripada komitmen berterusan dalam menyebarkan kebaikan melalui Kempen Program Kasih Ramadan, Astro Kasih turut menyalurkan sumbangan kepada Yayasan Ikhlas dengan kerjasama ERA Sarawak. Program ini telah berlangsung pada 25 Februari 2025 di Miri, Sarawak. Orang ramai yang ingin turut serta dalam usaha murni ini boleh menyumbang melalui akaun RHB Bank Berhad – Yayasan Astro Kasih (21412900254230).
Tawaran dan Perkhidmatan Astro
Selain itu, Astro Kasih akan bekerjasama dengan Radio Zayan dalam satu inisiatif istimewa pada 21 Mac ini, di mana sebanyak 1,500 bubur lambuk akan diedarkan kepada warga emas dan komuniti setempat di Pusat Jagaan Mahmudah, Semenyih.
Inisiatif ini turut akan dilakukan di Dataran Merdeka pada 22 Mac 2025 ini dengan kerjasama Nu Ideaktiv dan Radio ZAYAN menerusi kempen RASA Bubur Lambuk Rewang Wira yang akan disertai oleh 50 orang sukarelawan daripada Astro, barisan selebriti dan personaliti radio seperti Faizal Ismail, Nana
Mahazan dan Anas Tahir. Penglibatan Radio ZAYAN dalam kempen ini termasuk membuat siaran secara langsung di luar konti bermula jam 8 pagi sehingga 10 pagi di lokasi tersebut.