Menerusi usaha mempercepatkan strategi pengagretan platform OTT, Astro kini membawakan perkhidmatan penstriman terbesar dari China, WeTV ke Astro Ultra Box.

Menawarkan pelbagai kandungan berkualiti tinggi termasuk siri dan filem Cina, Korea, Jepun, Asia Tenggara dan Malaysia, para pelanggan boleh mengakses rancangan-rancangan hebat dengan penambahan WeTV VIP ke langganan melalui Astro hanya pada RM10.50, sebulan, berbanding harga asal RM11.90 sebulan.

Menerusi langganan WeTV VIP, pelanggan dapat mengakses kandungan-kandungan lebih awal selain program hangat dan eksklusif dengan lancar tanpa iklan.

Selain itu, pelanggan juga dapat menonton dan menikmati program pilihan mereka pada dua peranti berbeza dalam masa yang sama.



Antara kandungan menarik yang ditawarkan oleh penstriman dari Tencent ini termasuklah drama Prosecution Elite (akan datang) dibintangi Dilraba Dilmurat, Tong Dawei, Gao Xin dan You Jingru, drama The Love You Give Me, sebuah adaptasi novel popular oleh Shi Ding Rou, siri aksi-romantik Love of Replica dan romantik fantasi Lost You Forever (akan datang).

Bagi penggemar drama dari Indonesia, anda juga boleh menyaksikan Layangan Putus dan drama romantik Antares 1 & 2, selain kandungan aksi fantasi Donghua antaranya Soul Land, Swallowed Star, Perfect World dan Throne of Seal.

WeTV merupakan aplikasi penstriman premium ke-11 yang menyertai Astro. Antara aplikasi lain termasuklah BBC Player, beIN SPORTS CONNECT, Disney+ Hotstar, HBO GO, iQIYI, Netflix, TVBAnywhere+, Viu, WeTV dan ZEE5, selain aplikasi Astro GO yang merupakan percuma kepada semua pelanggan.

Menerusi penyertaan lebih banyak perkhidmatan OTT, para pelanggan boleh mendapatkan pengalaman penstriman yang canggih dengan lebih banyak aplikasi yang bakal menjadi sebahagian daripada platform Astro tidak lama lagi.