Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

Aswan Anwar Ketengah Kisah Adik-Beradik Dalam Lagu Bicara Jiwa

Izwan Isa
24/09/2022 07:50 MYT

Nama penyanyi Aswan Anwar mungkin jarang diperkatakan dalam kalangan peminat muzik arus perdana. Namun bakat semulajadi yang dimiliki oleh anak kelahiran Sabah itu wajar diberikan perhatian.

Tidak mensia-siakan bakat yang dimiliki, Aswan hadir dengan single terbaharu berjudul Bicara Jiwa. Menariknya, single ini turut menampilkan anggota kumpulan VE, Adeep Nahar.

“Terlebih dahulu, syukur alhamdulillah atas kelahiran lagu ini yang merupakan hasil titik peluh antara saya dengan Adeep Nahar yang merupakan rakan kongsi Sang Melodi Entertainment.

“Bermulanya perjalanan seni saya ketika diberi peluang merakamkan dua buah single bersama label indie dari Indonesia sebelum berlakunya pandemik COVID-19 lagi.

“Setelah hampir dua tahun segala aktiviti seni terhenti gara-gara pandemik membuatkan saya terfikir untuk menubuhkan label muzik sendiri bersama Adeep dan Bicara Jiwa adalah karya pertama kami,” jelasnya.

Lagu yang dicipta sepenuhnya oleh komposer baharu, Karya Tujuh itu merupakan sebuah single dalam nuansa pop moden yang turut diselitkan dengan rangkap rap nyanyian Aswan sendiri.

“Ini merupakan pengalaman pertama saya mencuba sesuatu yang baharu seperti menyanyi rap serta keluar dari zon selesa. Sebagai penyanyi kita perlu berani mencuba pelbagai genre untuk menjadi seorang penghibur yang versatil.

“Proses rakaman mengambil masa selama tiga jam sahaja di Studio Novarts, Ara Damansara, manakala proses keseluruhan bagi penghasilan lagu ini memakan masa hampir setahun, merangkumi sesi latihan nyanyian dengan tarian bagi memantapkan mutu persembahan nanti,” katanya lagi.

Idea asal lagu Bicara Jiwa datangnya daripada Aswan sendiri yang mahukan sebuah karya menggambarkan hubungan keakraban antara adik-beradik yang diterjemahkan ke dalam lagu.

“Saya ingin mengetengahkan konsep antara adik dengan abang yang membicarakan tentang kasih sayang yang mendalam di mana masing-masing meluahkan isi hati untuk saling melengkapi antara satu sama lain.

“Watak utama dalam lagu ini adalah mengenai kasih sayang seorang adik terhadap abangnya. Segala penceritaan dalam bait-bait lirik adalah berdasarkan cerita sebenar yang dilalui bersama menuju ke arah yang satu. Hubungan mereka ibarat isi dengan kuku, begitu akrab dan tidak mungkin ada yang boleh memisahkannya kecuali Tuhan. Biarpun berlaku perselisihan faham, namun peribahasa Melayu ada menyebut, air dicincang tidak akan putus,” katanya.

Selain bidang nyanyian, Aswan turut mengendalikan perkhidmatan studio rakaman dan perniagaan makanan yang diusahakannya sendiri sejak sekian lama.

“Saya ingin menjadi penyanyi yang dapat memberi motivasi kepada orang ramai melalui karya-karya saya, ibarat perjalanan hidup saya yang dimelodikan menjadi sebuah lagu dengan cerita teladan. Dan jenis muzik yang cuba saya sampaikan adalah universal dan tidak terikat dengan mana-mana genre,” ungkap Aswan.

Selain single, klip video Bicara Jiwa turut dilancarkan serentak dengan konsep penceritaan sebuah perhubungan antara adik dengan abang yang hidup di perantauan.

Lagu Bicara Jiwa boleh dimuat turun di iTunes Store dan dijadikan sebagai nada dering panggilan menerusi ke semua syarikat telekomunikasi tempatan serta boleh didengar dan nikmati pada bila-bila masa melalui aplikasi penstriman atas talian utama seperti Apple Music, Spotify, Joox, YouTube Music, KKBox dan juga Deezer.

Manakala klip video single ini pula boleh ditonton secara eksklusif hanya di saluran YouTube Rocketfuel Network.

Undi bintang digital dan content kegemaran anda di dalam carta mingguan Gempak Most Wanted 2022 di sini. Anda juga boleh membuat pencalonan baharu untuk carta mingguan seterusnya. Selamat mengundi!

#Aswan Anwar #Bicara Jiwa
;