Berapa kali rasanya anda ke Perak?

Pastinya lokasi yang dikunjung adalah Lost World of Tambun, Kellie's Castle, Taman Rekreasi Gunung Lang, Royal Belum, Bukit Merah, Pulau Pangkor atau yang terbaru Movie Animation Park Studios (MAPS)

Namun tahukah anda sebenarnya banyak lagi destinasi menarik yang boleh diteroka di Perak?

Kalau sudah bosan dengan tempat sama, apa kata cuba lima lokasi ‘underrated’ ini.

1. ADELINE VILLA AND REST HOUSE


Tempat ini sesuai jika anda yang mahukan ekstra ‘privacy’ kerana tiada sambungan Internet disediakan. Ia dinyatakan dalam laman web mereka sendiri.

Terletak di Kampung Geruntum, Sungai Itik, Gopeng hanya mengambil masa 30 minit dari Ipoh.

Apa yang uniknya tempat ini, ia terletak betul-betul di pinggir hutan selain turut menyediakan menu makanan lain daripada yang lain. Ada yang sanggup balik hari dari Kuala Lumpur semata-mata nak makan di sinu.

Selain itu ‘Guest House’ yang disediakan juga agak unik kerana dihasilkan dengan bahan buluh semula jadi seperti mana digunakan oleh orang Asli.

2. ISTANA RAJA BILLAH



Kedengaran seperti dalam filem bukan? Ya, lokasi ini memang pernah difilemkan dan ia benar-benar wujud.

Terletak di pekan Papan, Perak, ia hanya mengambil masa perjalanan sekitar 15 atau 20 minit dari Bandar Ipoh.

Pelbagai kisah mistik yang dikaitkan dengan istana ini. Namun, anda harus faham dahulu kisah sejarahnya dan barulah tahu maksud mistik yang diperkatakan.

Rumah ini dibina juga oleh Raja Billah sebagai tempat terakhirnya dalam meneruskan kehidupan. Oh ya, jangan terkejut jika ada ‘penjaga’ yang tinggal di sebelah istana ini!

3. MUZIUM GOPENG


Kalau nak cari tempat insta-worthy, muzium ini bukan calang-calang. Luar nampak biasa, tapi tunggu hingga anda masuk ke dalamnya.

Hampir 300 barang antik yang menghiasi setiap inci ruang di dalam muzium ini. Terdapat dua tingkat dan anda pasti akan teruja.

Selain mesin lama, barang klasik yang turut dipamerkan adalah radio, basikal, alat penimbang dan beberapa jenis mata wang lama

4. TASIK CERMIN


Jika anda ke sini pasti akan terpukau dengan pemandangan indah tasik cermin ini. Ada sebab ia dipanggil tasik cermin dan anda haruslah ke sini untuk mendapat jawapannya.

Malah, ramai yang mengambil gambar kahwin di sini. Tidak pasti sama ada ia telah kembali dibuka kepada orang ramai ataupun tidak.

Jika anda ke sini, jagalah keselamatan.

5. GAHARU TEA VALLEY


Ada yang menggelarnya sebagai Cameron Highland 2!

Selain seni bina pintu gerbang ala The Great Wall of China, ladang ini menyimpan 200,000 batang pokok gaharu di atas ladang berkeluasan 120 hektar.

Daun pokok Gaharu ini ditanam untuk menghasilkan teh yang penuh khasiat.

JIka mahu ke sini, ladang ini dibuka kepada orang ramai seawal jam 9 pagi sehingga jam 6 petang setiap hari.