Asyraf Dasley Syukur Dinobat Mister Tourism World 2025, Berjuang Demi Malaysia & Arwah Ibu - “Saya Terkilan Tak Dapat Rasa Momen Ditabalkan”
Berjuang Demi Malaysia & Arwah Ibu
Asyraf atau nama sebenar, Muhammad Asyraf Mohd Dasli, 34, berkata, arwah ibu menjadi pembakar semangat untuknya memberikan yang terbaik dalam pertandingan edisi ke-8 itu.
“Kalau dari segi terkilan, mungkin disebabkan tidak ditabalkan sebagai pemenang pada malam kemuncak pada 18 Februari lalu. Saya tak dapat rasakan momen itu.
“Saya berjuang untuk Malaysia dan keluarga termasuk arwah mak. Sebelum mak meninggal dunia pada 8 Januari lalu, memang dia ada pesan untuk buat yang terbaik dalam apa jua saya ceburi,” katanya kepada Gempak.
Tak Tolak Rezeki Berlakon
Asyraf yang kini sedang mengikuti pengajian peringkat ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Keusahawanan berkata, dia akan terbabit dengan pelbagai promosi sebagai Mister Tourism World 2025.
“Bila berjaya bina nama di peringkat dunia, saya harap ada penerbit dan penggiat industri hiburan tanah air nampak bakat saya untuk lebih aktif dalam bidang lakonan,” kongsinya.
Terdahulu, Pertubuhan Mister Tourism World secara rasmi mengumumkan kemenangan Asyraf dalam satu kenyataan yang menyatakan keputusan muktamad selepas seminggu persaingan sengit membabitkan pameran kebudayaan dan aktiviti duta.