Laman Utama
ASYRAF NASIR Keliru – “Semua Tunggu 2020 Tiba, Tapi Lain Yang Diharap Lain Yang Jadi…”
Sejak muncul juara RapStar pada Mac lalu, pendatang baharu Asyraf Nasir atau lebih dikenali dengan nama pentasnya ASYRAF NASIR semakin mendapat tempat di hati peminat arena Hip Hop tempatan.
Sebelum mengukir nama dalam industri muzik tempatan, penyanyi rap yang mesra disapa sebagai Asyraf ini pernah mencuri perhatian sebagai peserta dalam musim kedua program ‘16 Baris’ kendalian rapper terkenal Joe Flizzow.
Pada Ogos lalu, Asyraf berkolaborasi dengan kumpulan MFMF. dan penyampai radio FlyFM Ili Ruzanna dalam lagu ‘Pixel’.
Bagi mengukuhkan lagi namanya dalam persada seni tempatan, Asyraf muncul dengan single terbaharu berjudul KELIRU.
KELIRU merupakan ciptaan bersama Asyraf Nasir dan Jann dan idea timbul selepas melihat kepada situasi semasa dan keadaan sekarang.
“Hampir tiga dekad, rakyat Malaysia menanti-nantikan tahun 2020 setelah tercetusnya Wawasan 2020. Namun apabila tahun 2020 tiba, lain yang diharapkan, lain pula yang jadi.
"Daripada tahun yang sepatutnya membawa kemakmuran, 2020 berubah menjadi tahun yang penuh dengan ketidakstabilan.
“Selain daripada pandemik COVID-19 yang melanda, ketidakstabilan politik dan ekonomi yang berlaku serata dunia membuatkan kita semua dalam keadaan huru hara.
“Semua celaru, semua keliru. Adakah kita akan pulih semula dalam masa lagi 2 bulan? 6 bulan? 2 tahun?
“Berita palsu di alam maya juga memberi lagi ruang untuk kekeliruan tersebar di kalangan khalayak ramai.
Ramai yang tidak pasti dengan nasib mereka ketika ini, sama ada dari segi kesihatan mahupun kerjaya. Ini adalah era kekeliruan sejagat, inilah yang cuba saya sampaikan menerusi lagu ini,” katanya.
Asyraf juga berharap KELIRU mendapat sambutan positif pendengar dan sudut positif yang hendak disampaikan, terus ke jiwa pendengar.
Single terbitan Universal Music Malaysia ini boleh didapati di kesemua pelantar digital seperti Spotify, iTunes, KKBox, Deezer, Joox Apple Music dan video muzik sudah ditayangkan di saluran YouTube Universal Music Malaysia bermula 21 Disember lepas.