Penyanyi hip hop, Asyraf Nasir mengundang YonnyBoii untuk memainkan salah satu watak di dalam muzik video single terbaharunya, 2PAI.

Menurut Asyraf, jalan ceritanya berkonsepkan aksi dan menampilkan senario dua orang yang bekerjasama namun menemui konflik sepanjang bekerja.

“Saya fikir YonnyBoii adalah orang yang sesuai untuk memainkan watak seorang lagi rakan itu Situasinya sama seperti kami yang ada konflik ketika bekerja.

“Video muzik 2PAI dirakam dalam masa satu hari sahaja tetapi persiapan penuh mengambil masa sebulan sebelum kami akhirnya dapat berada di lokasi bersama kru terlibat di
set.

“Semua orang akan lihat karakter saya yang berbeza daripada yang biasa sebab konsepnya seperti filem aksi,” katanya.

Menurut Asyraf, lagu 2PAI mengambil masa sebulan untuk disiapkan secara keseluruhan kerana mahu memberi gambaran sebenar dari pemerhatian sendiri.

“Biarpun penulisan lagu mengambil masa lebih kurang dua hari, persiapan jalan ceritanya yang memakan masa.

“Dari segi komposisi lagu, saya berkerjasama dengan Wolfy secara virtual. Lagu ini disiapkan pada tahun 2020, ketika zaman PKP, jadi kami terpaksa membuat panggilan video untuk bincangkan susunan lagu,” katanya.

Tambah Asyraf, kesemua rakaman vokal dilakuakannya sendiri di rumah disebabkan PKP.

“Saya sebenarnya memang berniat nak rakam dalam studio, tetapi setelah kali ketiga, keempat buat rakaman di rumah sendiri, hasilnya tak sama seperti kali pertama saya rakam di rumah.

“Jadi semua vokal yang anda dengar ni adalah rakaman suara yang pertama saya lakukan di rumah,” katanya.

Projek terkininya berjudul 2PAI ini sebenarnya diinspirasikan oleh peribahasa ‘setinggi-tinggi tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah juga’.

Dicipta dan ditulis oleh Asyraf sendiri, lagu yang diterbitkan oleh Wolfy ini berkisar sifat manusia yang boleh menjadi angkuh apabila mereka memperolehi segalanya.

Malah, ada juga individu yang sanggup melakukan apa sahaja untuk mencapai ke puncak tanpa mempedulikan isu moral dan kebaikan.

“Lagu ini mengingatkan kita bahawa rezeki boleh diberi dan juga ditarik balik. Ia juga satu peringatan bahawa manusia mudah leka dan harus sedar yang setinggi mana pun pencapaian, janganlah lupa titik permulaan kita.

“Sesungguhnya tiada siapa yang dapat perolehi kejayaan sepenuhnya tanpa bantuan orang lain. Itulah pesanan yang cuba disampaikan,” ujarnya.

2PAI telah pun berada di semua platform digital seperti Spotify, Apple Music, Joox, KKBOX, Deezer dan YouTube Music.

Muzik video juga boleh ditonton di saluran Youtube ASYRAF NASIR VEVO.