“Atas Dasar Menjaga Keselamatan Awam” - Kerajaan Wajar Ambil Tindakan Golongan Tolak Vaksin Covid-19
Ketika kerajaan berusaha untuk mencapai imuniti kelompok, muncul pula beberapa golongan yang seakan menghalang perancangan tersebut.
Golongan dikenali anti vaksin ini masih berdegil dengan pendirian mereka daripada mendapatkan sebarang suntikan vaksin.
Sehubungan itu, Pensyarah Kanan Fakulti Undang-Undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia Prof Dr Ainul Jaria Maidin percaya, kerajaan berhak mengambil tindakan terhadap golongan ini.
Tambahan pula jika menolak vaksin Covid-19 tanpa alasan munasabah bagi menjaga kemaslahatan seluruh rakyat.
Menerusi Harian Metro, Ainul Jaria berkata, kerajaan mempunyai bidang kuasa membuat peruntukan mengenakan denda ke atas pihak yang menolak vaksin atas dasar menjaga keselamatan awam.
"Pada masa sama, denda yang dikenakan bukan hanya terhad kepada golongan yang menolak vaksin, malah kepada golongan yangmenyebarkan berita palsu di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
"Dalam situasi ini, kuasa kerajaan untuk menjaga kepentingan rakyat di mana keperluan kesihatan dan ekonomi akan mengatasi kepentingan individu yang menolak vaksin," katanya.
Jelasnya, menolak vaksin mendedahkan diri kita dan ahli keluarga serta masyarakat kepada bahaya yang mungkin menyebabkan jangkitan Covid-19 dan risiko lebih buruk.
"Risiko penolakan vaksin lebih besar berbanding mudarat kesan sampingan daripada pengambilan suntikan vaksin yang hanya bersifat sementara.
“Vaksin terbukti dapat memberi perlindungan kepada masyarakat sekali gus mempengaruhi status kesihatan awam keseluruhannya," katanya.