TERKINI

Atilia & Salamiah Hassan Buktikan Magis Ibu-Anak Dalam Konsert Gelombang Bahagiaku

Umirah Halim 19/08/2025 | 16:55 MYT
Malam Sabtu lalu menyaksikan detik penuh emosi apabila penyanyi Atilia Haron berkongsi pentas dengan ibunya yang juga legenda seni tanah air, Salamiah Hassan, menerusi Konsert Gelombang Bahagiaku di Plenary Theatre, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

Konsert anjuran Mujik Wand Production itu mencatat kejayaan luar biasa apabila tiket terjual habis dan menerima tepukan gemuruh daripada penonton sepanjang hampir tiga jam persembahan.

Atilia yang tidak dapat menyembunyikan rasa terharu menyifatkan ia sebagai impiannya sejak kecil.

“Sejak kecil, saya ingin menjadi seperti mama. Dapat berkongsi pentas bersamanya di hadapan penonton yang penuh… it’s surreal. Projek ini bukan mudah kerana kami bermula tanpa penaja, tetapi berkat sokongan rakan-rakan dan keluarga, ia menjadi malam yang tidak akan saya lupakan,” katanya.

Salamiah pula menganggap momen tersebut sebagai hadiah terindah dalam kariernya yang kini memasuki tahun ke-55.

“Menyanyi bersama anak saya sepanjang konsert ini adalah hadiah paling indah. Saya gembira, sangat bersyukur, dan berharap kami dapat melakukan lebih banyak konsert bersama nanti,” luahnya.

Persembahan dibuka dengan lagu No Fruits For Today oleh Atilia, diikuti rangkaian lagu popular seperti Old Love, Rekah, medley Bodoh dan Cinta Sampai Mati.

Antara momen istimewa termasuk kolaborasi dengan MonoloQue menerusi Kekanda Adinda serta persembahan Bahagiaku, Salah Sangka dan Selagi.

Salamiah pula memukau dengan variasi genre daripada I’m So Excited, balada Surat Terakhir, medley Miang Miang Keladi, Kau Dan Alasanmu, Antara Dua Kasih, jazz klasik Frim Fram Sauce hingga duet romantis bersama Hardy Arbi dalam Berdebar-Debar Rasa Hati.

Kemuncak konsert menyaksikan duet sulung ibu dan anak menerusi Age Is Just The Number serta persembahan istimewa Empat Dara bersama Mimifly dan Elvira Arul yang membuat seluruh dewan berdiri memberikan tepukan gemuruh.

“Bila kami berpandangan sambil menyanyi, saya rasa macam dunia terhenti sekejap. Momen itu yang saya tunggu-tunggu,” kata Atilia.

“Saya dapat lihat di mata Atilia penuh semangat dan kasih… itu yang membuatkan saya rasa inilah kebahagiaan sebenar,” ujar Salamiah pula.

Selain nyanyian yang memukau, suasana konsert turut dihangatkan dengan sambutan positif peminat yang hadir. Barangan rasmi konsert seperti t-shirt edisi khas sebanyak 100 helai turut habis terjual.

“Ini kali pertama kami membuat merchandise sendiri. Seronok apabila melihat peminat memakai baju konsert sambil bergambar dengan kami,” kata Atilia sambil tersenyum.

Salamiah dalam pada itu sempat menitipkan pesanan kepada penyanyi muda.

“Penyanyi sekarang hebat-hebat, buat lagu sendiri, belajar vokal. Saya yang sudah 55 tahun dalam industri ini pun masih lagi belajar. Seni itu satu perjalanan tanpa henti,” ujarnya merendah diri.

Atilia pula menegaskan konsert berkenaan menjadi titik tolak untuknya kembali aktif menyanyi selepas memberi tumpuan pada bisnes yoga sejak kebelakangan ini.

“Tahun depan saya hendak buat lebih banyak persembahan. Saya rindu berada di pentas. Malam ini membuktikan bahawa muzik dan kasih sayang keluarga adalah kombinasi yang tidak ternilai,” katanya penuh tekad.

Secara keseluruhannya, Konsert Gelombang Bahagiaku bukan sekadar persembahan biasa tetapi meraikan kasih sayang, warisan dan muzik yang merentas generasi.