Atiq Azman Akui Kesilapan Sendiri ‘Tayang Aurat’ - “Saya Ada Asas Dalam Bidang Agama, Tapi Tidak Gunakan Dengan Baik”
Asyikin Mayudin
22/02/2024 00:55 MYT
22/02/2024 00:55 MYT
Berterima kasih atas teguran netizen, pelakon Atiq Azman mengakui kesilapan dirinya yang semakin berani menayangkan aurat di laman sosial.
BERITA TRENDING: Isu Tayang ‘Six Pack’, Atiq Azman Terkilan Digelar Bekas Tahfiz ‘Teruk’ - “Bukan Nak Menggelupur, Kau…
Menjadikan penghijrahan imej pelakon dan pempengaruh media sosial, Norreen Iman sebagai contoh, Atiq turut meminta netizen supaya tidak menjatuhkan hukum terhadap dirinya
“Pertama sekali, terima kasih kerana menegur. Apa yang boleh saya cakap, saya mengaku memang salah saya (menayang aurat) dan tidak menjaga batas.
“Namun yang menjadi masalah apabila saya ditegur dengan cara yang salah. Walaupun tidak nampak perubahan itu (selepas ditegur), namun kita tidak tahu pengakhiran hidup seseorang itu bagaimana.
“Contoh, lihat sahaja pelakon Norreen Iman sekarang. Kita tahu dahulu dia bagaimana (seksi), tetapi lihat dia sekarang. Jangan hukum seseorang. Sebaliknya doakan yang baik-baik dan tegurlah dengan cara betul,” katanya kepada Gempak.
Pelakon itu ditemui ketika menghadiri malam Anugerah AINAA Super Seven Awards sempena ulang tahun AINAA ke-7 yang diadakan di Zepp, Kuala Lumpur.
Atiq yang pernah bergelar pelajar tahfiz ketika mendapatkan pendidikan di sebuah sekolah agama, turut mengakui tidak memanfaatkan ilmu yang dimilikinya itu dengan baik.
“Walaupun saya ada latar belakang pendidikan di sekolah agama, saya akui memang salah saya juga. Saya ada asas dalam bidang tersebut (agama), namun saya tidak gunakan dengan cara yang baik.
“Terus terang, saya minta maaf memang salah saya,” katanya.
Selain itu, Atiq turut memberitahu dia kerap ditegur keluarga kerana kecaman netizen yang dilemparkan kepadanya.
“Keluarga juga sudah kerap menegur saya. Iya, memang salah saya. Terima kasih juga pada keluarga sebab sentiasa tegur anak mereka. Memang saya ada masalah pun.
“Saya ambil teguran itu untuk menjadi manusia yang lebih baik di masa hadapan,” katanya.
Sebelum ini, Atiq pernah dikecam kerana menayang otot perut atau ‘six pack’ ketika bercuti di sebuah pulau peranginan di Terengganu sehingga mencetuskan pelbagai reaksi khalayak.
Atiq kemudiannya tampil mempertahankan diri dan sempat menyelar semula netizen, selain meluahkan rasa berang apabila ada individu bertindak melampau sehingga sanggup menghinanya.