ALL TOGETHER NOW 2022

ATNM2: Hikmah Join Audition Last Minit, POV Bersyukur Ke Pentas Final; “Kami Practice Dalam Telefon Je…”

Shahrin Zulkifle 09/01/2023 | 06:00 MYT

Peserta duo All Together Now Malaysia musim kedua (ATNM2), POV mendedahkan keputusan untuk menyertai program tersebut dilakukan disaat akhir iaitu dua hari sebelum sesi ujibakat berlangsung.

Menganggap perkara tersebut sebagai satu hikmah, POV yang dianggotai Uchop dan Nurashq dalam masa sama melahirkan rasa syukur dan gembira apabila berjaya melangkah ke pentas akhir.

“Saya dan Nurashq, kami last minit ambil keputusan untuk join, dua hari sebelum audition rasanya waktu itu.

“Bila berjaya dapat ke final kami sangat teruja, selepas 10 tahun dah tak masuk pertandingan, kali ini dapat ubati rasa rindu untuk bertanding itu.

“Alhamdulillah bersyukur sangat, semoga hikmah yang terjadi ini dapat beri peluang pada kami untuk lebih bersinar sebagai seorang penyanyi,” katanya kepada Gempak.

Dalam pada itu, Uchop turut mendedahkan latihan nyanyian bersama rakan duo dilakukan hanya menerusi telefon bimbit sahaja disebabkan masing masing sibuk dengan kerja.

“Saya dan Nurashq pun berbincang dan practice dalam telefon je, tak sempat pun berjumpa sampailah hari audition.

“Ini semua rezeki untuk kami berdua. Kami berdua agak sibuk, saya ada kerja saya dan Nurashq ada kerja dia juga. Jadi melalui telefon adalah yang terbaik untuk kami practice,” katanya.

Terdahulu, POV yang membawakan lagu Seroja nyanyian asal kumpulan Search berjaya meraih 94 markah daripada barisan juri sekaligus melayakkan mereka ke pentas akhir.

***

ATNM2 mempersembahkan barisan juri yang popular dan terkenal dengan mengetengahkan 13 muka juri baharu termasuk Datuk Aznil Hj. Nawawi, Ajai, Rozita Che Wan, Shila Amzah, Nikki Palikat, Marsha Milan, Reshmonu, Vince Chong serta ramai lagi.

Datuk Syafinaz Selamat pula menggalas tugasan sebagai Kapten Juri yang baharu. Manakala pengacara bubbly dan bertenaga, Sherry Alhadad kembali untuk mengemudi ATNM2.

Saksikan All Together Now Malaysia 2 yang bersiaran secara eksklusif pada setiap hari Ahad, jam 9.00 malam di saluran Astro Ria serta strim menerusi On Demand di Astro Box dan aplikasi Astro GO untuk pilihan yang lebih fleksibel.

#All Together Now #All Together Now Malaysia #ATNM2 #Duo POV #Ushop Nurashq