Tidak mahu menambah beban suami, isteri kepada pelawak Atu mengambil keputusan untuk menutup kedai perniagaan kek lapis dan butiknya di Setia Alam, Selangor.

Shafeeqa Johari berkata keputusan tersebut dibuat selepas dia dan suami memikirkan tentang kos sewa kedua-dua premis terbabit.

Sungguhpun berat hati untuk melepaskan premis terbabit, namun itu saja cara terbaik buat masa ini demi mengawal kewangannya.

Bagaimanapun Shafeeqa berkata perniagaan kek lapis masih akan diteruskan tetapi hanya beroperasi dari rumah saja.

“Iya benar nak tutup dah kedai, memang sayang. Dah buat mural, renovate butik, modal dah keluar. Tapi kami puas sebab sekurang-kurangnya kami pernah mengendalikan sebuah perniagaan.

“Perniagaan tetap berjalan seperti biasa. Buat masa ini perbelanjaan perlu dikawal. Kasihan suami saya, dah banyak dia korbankan untuk kami sekeluarga,” katanya.

A post shared by Shafeeqa Johari (@shafeeqajohari)


Sementara itu Atu mengakui sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0, pendapatan mereka merosot.

“Saya tidak malu nak beritahu pendapatan kami merosot. Saya buat keputusan untuk menutup kedua-dua kedai selepas memikirkan tentang komitmen lain.

“Rumah, kereta, makan pakai isteri dan anak-anak itu yang menjadi keutamaan saya sekarang.

"Kali terakhir saya terbabit aktiviti seni adalah menerusi Muzikal Lawak Superstar 2. Selepas itu, bila PKP 3.0 memang sudah tiada pekerjaan selain perniagaan kek lapis dan butik berkenaan.

"Meskipun pendapatan jual kek lapis masih ada, tapi perniagaan makanan lain tak dapat dijalankan di premis itu kerana larangan makan di dalam kedai. Justeru, kami berfikir untuk menutupnya saja," katanya.

Dalam pada itu, Atu mengakui terharu apabila mendapat kata-kata sokongan daripada Ustaz Ebit Lew yang menyuruh mereka untuk tidak berputus-asa.

"Beliau ada juga menyatakan keinginan untuk membantu perniagaan kami. Namun begitu, kami meminta beliau lebih baik dulu membantu program pengurusan jenazah yang kami jalankan di Kudat, Sabah," katanya.

Atu turut mengucapkan terima kasih kepada pelanggan Kek Lapisan Ozon dan Butik yang tidak jemu-jemu memberikan kata-kata semangat dan sokongan kepada dia dan isteri.