Hiburan
Atu Zero Timang Puteri, Panik Doktor Cakap ‘Orang Putih’
Pelawak Atu Zero dan isteri selamat menimang cahaya mata pertama mereka, pukul 9 pagi ini (Rabu) di Klinik Bersalin Razif, Klang.
Atu atau nama penuhnya Sharif Kunal Bin Doli Sharif, 24, berkata isterinya Shafeeqa Johari, 30 melahirkan puteri sulung mereka melalui pembedahan.
“Alhamdulillah, isteri dan bayi kedua-duanya sihat. Isteri saya mengadu sakit perut petang semalam dan saya terus bawa dia ke klinik bersalin.
“Pukul 3.45 petang Eqa terus dimasukkan ke wad, cuma dia kena tinggal di hospital untuk beberapa hari kerana bersalin menerusi pembedahan dan perlu dipantau, mengikut prosedur biasa,” katanya.
Tambah Atu lagi, isterinya akan berpantang di rumah mereka di Kuala Lumpur dan dijaga oleh ibu Shafeeqa sendiri.
Selain itu Atu sempat berkongsi perasaan paniknya apabila doktor memberi penerangan dalam Bahasa Inggeris sebelum isterinya ke bilik pembedahan.
“Doktor cakap ‘orang putih’ ketika dia beritahu Eqa akan dibedah. Panik saya sekejap kerana tak faham. Nasib baik doktor Melayu, kalau ‘mat saleh’ langsung tak faham,” katanya ketawa.
Atu turut berterima kasih kepada semua peminat telah yang mendoakan keselamatan isteri dan anaknya.
Teks Oleh: Hafiza Kamarudin