Takhta barisan SUV Audi yang dipegang oleh Q8 sejak tahun lalu nampaknya akan bertukar tangan menjadi milik model dengan prestasi yang lebih tinggi iaitu SQ8.
Bakal memasuki pasaran Eropah bermula tahun ini, SQ8 menampilkan penggayaan SUV coupe yang sama namun dengan imej yang lebih garang terima kasih kepada rekaan bampar baharu dengan lubang ambilan udara lebih besar, muncung ekzos kembar empat dan rim bersaiz sehingga 22 inci.
Advertisement
Bahagian dalaman pula dihiasi dengan gabungan upholsteri kulit dan Alcantara, serta kemasan hitam berkilat pada papan pemuka. Logo ‘S’ pada tempat duduk sport, pedal keluli tahan karat dan kemasan ambang pintu aluminium memberikan kabin SQ8 suasana yang sporty.
Di bawah hud, enjin diesel 4.0-liter twin-turbo V8 menjana 429hp dan 900Nm, dan menyalurkannya ke keempat-empat roda menerusi transmisi automatik lapan kelajuan. Ini membolehkan SQ8 memecut dari 0 hingga 100km/j dalam 4.8 saat dan mencapai kelajuan maksimum 249km/j.
Sebahagian daripada prestasi ini dibantu oleh sistem hibrid 48V dan pemampat yang ditugaskan untuk membantu kedua-dua pengecas turbo semasa memecut.
SQ8 dilengkapi dengan sistem suspensi udara adaptif dan sistem pemanduan dinamik Audi Drive Select secara standard. Prestasi pengendalian yang lebih tinggi boleh dicapai menerusi kelengkapan pilihan seperti sistem kawalan stereng empat roda, ‘differential’ dan anti-roll bar elektromekanikal.
