Setiap penyanyi sememangnya mempunyai impian dan cita-cita. Bagi pendatang baharu, Aufahanie, dia sentiasa mengintai peluang untuk melebarkan sayap sebagai anak seni, termasuk menyertai pertandingan nyanyian popular Big Stage.

Menurut Aufa, dia pernah menerima undangan untuk mengikuti uji bakat bagi program Big Stage untuk edisi keempat. Namun, disebabkan ada kriteria yang tidak dapat dipenuhi, Aufa terpaksa pasrah melepaskan peluang berkenaan.

“Sebenarnya saya pernah menerima undangan untuk menjalani ujibakat bagi Big Stage 4 menerusi Skype. Tetapi ketika itu saya masih tidak mempunyai jumlah tontonan sebanyak 500 ribu bagi mana-mana video.

“Jadi, saya terpaksa lepaskan peluang berkenaan. Hasrat hati memang nak sangat sertai Big Stage sebab saya memang minat rancangan berkenaan. Tambahan pula, saya ikuti rancangan tersebut dari musim pertama hingga yang terkini,” katanya kepada Gempak.

Ditanya bagaimanakah dia mahu ke depan dan bersaing dengan penyanyi baharu lain, Aufa berkata, dia cuba sehabis baik untuk menonjol dengan cara yang positif.

“Bila lihat kembali landskap industri muzik, memang rasa agak payah untuk bersaing. Maklumlah, setiap hari, kita lihat ada sahaja yang diperkenalkan sebagai penyanyi.

“Di media sosial juga ramai yang memuat naik cover lagu dan semuanya bagus-bagus belaka. Jika ditanya kepada saya, saya akan cuba yang terbaik untuk ke depan, tambahan dengan pelancaran lagu baharu saya yang berjudul Geming Jiwa,” katanya lagi.

Melanjutkan bicara mengenai Geming Jiwa, Aufa berkata, dia berasa gembira kerana dapat bekerjasama dengan komposer terkemuka, Amylea Azizan yang bertindak sebagai pencipta lagu berkenaan.

“Projek ini merupakan kerjasama perdana saya dengan Amylea yang cukup berpengalaman dalam bidang penciptaan.

“Apabila dia menawarkan lagu untuk dinyanyikan, saya tidak menolak. Bagi saya ini merupakan peluang yang tak harus dilepaskan apatah lagi ia menjadi salah satu runut bunyi drama ini,” kongsi Aufa.

Sudah boleh distrim di semua pelantar muzik, Geming Jiwa turut dijadikan runut bunyi untuk drama Dendam Seorang Isteri yang sedang ditayangkan di saluran Astro Prima.