Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

Aura Bintang Krisdayanti Meriahkan Konsert Romansa

Kamaruddin Razal
27/02/2017 12:41 MYT
Penyanyi terkenal Indonesia, Krisdayanti menyerlahkan aura bintang yang dimilikinya menerusi Konsert Romansa Krisdayanti 2017.

Berlangsung di Panggung Sari, Istana Budaya, konsert Krisdayanti (KD) berjalan penuh sukses bermula 24 sehingga 26 Februari lalu. Astro Gempak sempat menonton persembahan di malam pertama pada Jumaat lalu.

Membuka panggung dengan segmen pertama yang diberi nama Romantis, KD membawa penonton mengimbau lagu-lagu cinta hits dendangannya.

Menyanyikan lagu Pilihlah Aku, Pengabadian Cinta, Surga Yang Tak Dirindukan dan Ku Tak Sanggup, KD menutup segmen pertama dengan mendendangkan lagu Menghitung Hari yang menjadi 'salam perkenalan' buat peminat di Malaysia 19 tahun lalu.

Seterusnya, segmen kedua yang diberi nama Keanggunan, KD membukanya dengan menyampaikan lagu nyanyian asal Adele, Send My Love dengan penuh bertenaga.

Seterusnya, KD membawakan lagu Cinta, Hanya Dia dan I'm Sorry Goodbye. KD juga menjemput Datuk Jamal Abdillah untuk berpadu suara mendendangkan lagu Hati Ini Telah Dilukai.

KD juga tidak lupa untuk membawa penonton mengingati dua orang lagenda muzik Malaysia, Puan Sri Saloma dan Datuk Sudirman menerusi segmen tribute. KD menyampaikan lagu Kuala Lumpur, Apa Guna Berjanji, Hujan dan Salam Terakhir.

KD kembali mengatur langkah menyanyikan seleksi lagu rock menerusi segmen Kekuatan. Persis seorang bintang rock sejati, KD menyampaikan lagu Bring Me To Life, Fantasia Bulan Madu, Suci Dalam Debu, Mengapa dan It's My Life.

KD juga berjaya menyampaikan lagu popularnya yang berjudul Cobalah Untuk Setia yang diberi nafas rock.

Bagi mengakhiri persembahannya, KD menyampaikan segmen Kehebatan yang menampilkan rangkaian lagu-lagu rancak. Jika Kau Tak Datang, Rembulan, Semua Jadi Satu, Mahadaya Cinta, Sleep To Dream, Goyang Dumang dan Penasaran.

KD menutup panggung dengan menyampaikan lagu hits miliknya, Mencintaimu dengan penuh memukau dan meninggalkan memori manis kepada semua penonton yang hadir.

Menariknya, sepanjang konsert anjuran NeoBel Indulgence Series itu berlangsung, KD tidak takut untuk turun bermesra dengan penonton yang hadir. Sepanjang konsert berlangsung, KD turut sebanyak tiga kali untuk menyapa dan bermesra dengan peminat di tempat duduk.

Walaupun ramai peminat mengerumuni KD untuk bergambar, penyanyi itu tidak gusar dan melayan peminat dengan begitu baik. KD juga tidak melupakan peminat yang membeli tiket aras atas dan acapkali menyapa mereka.

Konsert Romansa juga dimeriahkan dengan kehadiran ramai artis terkenal Indonesia. Rakan penyanyi seperti Datuk Rossa, Mayang Sari, Momo Geisha dan kakak KD, Yuni Shara terbang dari Indonesia untuk menyaksikan persembahan KD.

Penyanyi terkenal tempatan, Adibah Noor dan Salamiah Hassan turut sama-sama menyaksikan persembahan bertenaga KD. Penonton turut dihiburkan dengan penampilan Zulin Aziz yang sempat tampil berjenaka secara spontan sebelum segmen Kekuatan bermula.

Secara ringkas, KD berjaya menghiburkan seluruh penonton yang hadir dengan persembahan kelas pertama. Tidak keterlaluan jika dikatakan setiap wang yang dilaburkan oleh pembeli tiket berbaloi selepas melihat persembahan mantap KD.

Teks oleh: Kamaruddin Razal
Foto: Instagram @rasafilm.co
#Krisdayanti #Konsert Romansa Krisdayanti 2017
;