HIBURAN
Aura Ernie Zakri Tetap Menyerlah, Bersinar
Melakar perjalanan sebagai anak seni selama 16 tahun, tanggal 25 Januari 2025 menjadi detik sejarah hebat buat penyanyi popular, Ernie Zakri apabila mementaskan konsert solo sulung, Aura: Ernie Zakri Live In Concert di Dewan Plenari, Pusat Konvenysen Kuala Lumpur (KLCC).
Siapa sangka persiapan rapi yang dirancang selama tujuh bulan itu akan terkesan bilamana Ernie diuji dengan masalah keradangan pita suara menjelang konsert yang disifatkan sangat peribadi buatnya itu.
Enggan mengecewakan peminat setianya, insan seni bernama Nur Ernie Shahirah Zakri tampil di pentas dengan cukup yakin mengalunkan lagu Aura sebagai pembuka acara.

Memukau dengan busana lilac yang penuh sinaran bak permata hasil rekaan pereka fesyen sohor Rizman Ruzaini, Ernie terus membuka langkah tarinya dengan lagu Persis Katarsis dan Boneka sambil disambut sorakan penonton.
Tiada interaksi bersama penonton atas nasihat doktor, Ernie lanjut dengan melagukan karya-karya yang dipetik dari album Aura seperti Terima Seadanya, Gelita dan Satu Cinta.
Sementara Ernie di bilik persalinan, semua mata tertumpu kepada skrin yang memaparkan detik awal perjalanan karier seni seorang Ernie Zakri yang bermula pada usia kecil. Cukup membuktikan Ernie adalah seorang penghibur setia yang tak pernah berhenti berkarya dan menghiburkan penggemarnya.
Kembali ke pentas dengan menggayakan gaun rona merah istimewa dari rumah fesyen kegemarannya iaitu Amazae, Ernie yang sinonim dengan vokal bernada tinggi itu berjaya memukau peminat dengan lagu hits Astana dengan susunan muzik yang cukup segar.

Antusiasme penonton terus membuak apabila Ernie menyanyi rap menerusi lagu Ayuh biarpun mengenakan dress.
Kemunculan komposer dan penyanyi Indonesia, Ade Govinda turut menghangatkan lagi suasana dengan berduet menyanyikan lagu popular mereka, Masing Masing dan Hal Hebat.
Biarpun berdepan dengan masalah kesihatan, vokal Ernie tetap cemerlang sehinggakan ramai yang tidak sedar akan kondisi sebenar penyanyi tersebut pada malam itu.
Disaat lagu Tercipta Sempurna menjengah ke halwa telinga penonton, Ernie kelihatan sebak, manakan tidak potret bersama puteri kesayangannya iaitu Nur Khawla Soleha muncul di skrin sebagai visual persembahan.
“Sebulan ini saya tiada masa langsung dengan anak saya, sesungguhnya momen ini memberi kesakitan buat saya. Ia sebuah pengorbanan, bila dapat kejayaan, masa dengan anak pula tiada. Ia normal bagi kehidupan seperti saya. Saya harap dia tahu yang saya lakukan ini untuk dia juga. Alhamdulillah anak yang sangat baik dan memahami,” ujar Ernie kepada Gempak usai konsert.
Berdurasi hampir dua jam, konsert yang menyingkap pelbagai perspektif termasuk keluarga dan insan yang berada di belakang tabir Ernie Zakri itu menyentuh emosi terutama kepada kelab peminat, Ernienators apabila Ernie memberi penghargaan kepada insan-insan yang menjadi tulang belakangnya selama ini.
Jelma dengan persalinan renda hitam dan perak ciptaan jenama Haute Couture Rizalman oleh Faizul, Ernie terus memberi auranya sebagai seorang penghibur dengan menyanyikan lagu Jangan Marah, Ini Yang Ku Mahu dan The Best.

Suasana tiba-tiba menjadi gamat dengan sorak-sorai penonton apabila anggota kumpulan Dolla iaitu Sabronzo muncul bagi berduet bersama Ernie menerusi lagu kolaborasi mereka yang berjudul LUV buat pertama kali.
Kehadiran suami tercinta, Syamel ternyata menyuasanai lagi malam penuh istimewa itu apabila berduet menerusi lagu Die With A Smile dan Aku Cinta.
Kehebatan vokal yang tidak dapat disangkal lagi, Ernie dan Syamel sentiasa memberi yang terbaik sekaligus mengotakan janji kepada peminat.
Menutup konsert yang dibawakan oleh SAH Entertainment itu, Ernie Zakri menyanyikan lagu keramat Ku Bersuara dengan penuh bertenaga biarpun mengakui berasa ragu dengan kemampuannya apakah mahu meneruskan persembahan pada awal konsert.
Ernie menyampaikan seleksi 22 buah lagu bersama keindahan alunan muzik pimpinan pengarah muzik, Genervie Kam.
Bukan mudah perjalanan seni seorang insan genit bernama Ernie Zakri ini, banyak onak dan duri yang perlu ditempuhi namun cintanya terhadap dunia seni suara tidak pernah pudar sekaligus menguatkan lagi semangatnya untuk terus memacu kejayaan.
Semoga Ernie terus berkarya dengan cemerlang dalam menjadi penghibur sejati kepada penggemar muzik tanah air dan antarabangsa.
Foto: Haikal Shuib