Viral
Australia Larang Individu Bawah 16 Tahun Guna Media Sosial
Senat Australia pada Khamis meluluskan undang-undang penting untuk melarang individu di bawah usia 16 tahun daripada menggunakan media sosial.
Peraturan baharu yang mendapat 34 undi sokongan, manakala 19 menolak itu turut mengarahkan syarikat berkaitan supaya mengambil ‘langkah munasabah’ bagi menyekat akses terhadap golongan tersebut.
Gergasi media sosial termasuk TikTok bagaimanapun mengkritik langkah tergesa-gesa itu dan menuduh Canberra mengabaikan kesihatan mental serta keselamatan dalam talian.
Difahamkan undang-undang itu akan dikemukakan semula kepada Dewan Perwakilan untuk proses kelulusan akhir sebelum ia dikuatkuasakan sebagai undang-undang.
Perdana Menteri, Anthony Albanese yang menyokong penuh peraturan itu mahu golongan tersebut supaya terlibat dengan aktiviti luar lebih bermanfaat kerana media sosial banyak mendatangkan mudarat termasuk terdedah kepada unsur negatif seperti scammer.
Bagaimanapun, bagi Angus Lydom, 12, dia kurang bersetuju dengan langkah tersebut kerana sudah terbiasa dengan gajet untuk melayari media sosial sepanjang masa.
Sementara itu, Elsie Arkinstall, 11, pula berkata, kanak-kanak dan remaja sepatutnya dibenarkan untuk menggunakan platform berkenaan bagi meneroka pelbagai teknik yang tidak boleh dipelajari melalui buku. - AFP
Must-Watch Video