Selepas dua minggu ditayangkan, filem Avengers: Endgame telah berjaya mengatasi kutipan filem pecah panggung Titanic.

Filem terbitan Marvel Studios itu telah mengutip AS$2.227 bilion (RM9.245 bilion) selepas tayangan 13 hari.

Sekali gus menewaskan kutipan filem Titanic AS$2.187 bilion (RM9.07 bilion) yang ditayangkan sejak 1997.

Hal itu bukan mustahil memandangkan filem Avengers: Endgame sudah mencatatkan kutipan AS$1.2 bilion (RM4.98 bilion) pada minggu pertama ditayangkan.

Kejayaan itu meletakkan Avengers: Endgame sebaris dengan filem yang mencecah kutipan AS$2 bilion dalam tempoh dua minggu antaranya Avengers: Infinity War (AS$2.148 bilion) dan Star Wars: The Force Awakens (AS$2.068 bilion).

Bagaimanapun, Avengers: Endgame masih belum berjaya menandingi kutipan salah satu lagi filem James Cameron, Avatar dengan AS$2.78 bilion (RM11.541 bilion).

Akur dengan kejayaan Avengers: Endgame, Cameron melayangkan ucapan tahniah buat produksi filem adiwira itu.

"Sebongkah ais telah menenggelamkan kapal Titanic sebenar.

"Ia memerlukan sekumpulan Avengers untuk menenggelamkan Titanic saya.

"Kami di Lightstorm Entertainment mengagumi pencapaian anda. Anda telah buktikan industri perfileman masih hidup,' tulisnya menerusi kenyataan di media sosial.