“Awak Beri Saya Inspirasi, I Love You, Kak Siti” – Vivy Yusof Beri Penghargaan Kepada Pembantu Rumah

Azwa Rahman
Mac 6, 2020 08:12 MYT

Pengasas jenama fesyen terkemuka Datin Vivy Yusof mencuri perhatian wargamaya apabila meluahkan penghargaannya terhadap pembantu rumahnya yang dikenali sebagai Kak Siti.

Menerusi laman sosial Instagram, Vivy memuat naik foto ketika meraikan sambutan ulang tahun wanita itu untuk tatapan umum.

“Saya suka bagaimana awak mengejut kami sekeluarga setiap pagi, saya suka ayam goreng awak, saya suka awak nampak comel bila menyanyikan lagu berbahasa Inggeris bersama anak-anak, saya suka bila awak senyum sebab ia mahal, paling penting sekali saya sukakan kekuatan awak.

“Awaklah ‘epitome’ kepada superwoman, bekerja dari siang ke malam menjaga keluarga kami dan jauh daripada lima orang anak-anak awak. Awak menjaga keluarga kami seperti keluarga awak sendiri. Saya pasti tak mudah melihat keluarga kami gembira bila awak merindui keluarga awak sendiri.

“Tapi, saya tak pernah dengar awak mengadu pasal tu. Awak beri saya inspirasi di semua tahap dan kalau awak masih belum tahu, awak adalah keluarga kami juga. I love you, kak Siti,” tulis Vivy menerusi ruangan kapsyen.

Penghargaan tersebut diucapkan selari dengan Ssambutan Hari Wanita Antarabangsa yang diraikan pada 8 Mac setiap tahun.

Hasil tinjauan Gempak di ruangan komen, rata-rata memuji hubungan baik Vivy dan pembantu rumahnya.

Malah, ramai juga yang turut teruja dapat melihat wajah kak Siti buat pertama kalinya.

“Kalian berdua bertuah memiliki antara satu sama lain,” ujar seorang wargamaya.

“Finally dapat tengok kak Siti!” kata seorang wargamaya.

“Aww kak Siti! Pakai dUck jugak ke tu?” komen seorang wargamaya.

“Alhamdulillah, rezeki kak Siti dapat bekerja dengan orang baik-baik,” puji seorang wargamaya lagi.

Sehingga kini, perkongsian tersebut telah menerima hampir 50,000 tanda suka daripada pengikutnya.

#Malaysia #personaliti #Majikan