Pasangan selebriti Awal Ashaari, 40, dan Scha Alyahya, 38, membuat keputusan membuka satu akaun Instagram (IG) untuk cahaya mata kedua, Lyla Amina Ahmad.

Akaun IG yang menggunakan nama @lylaaminaa itu dibuat bagi berkongsi perkembangan terkini sama seperti yang dilakukan kepada Lara Alana, 7.

Walaubagaimanapun, akaun itu masih diletak dalam mod privasi (private) dan hanya mempunyai tiga pengikut iaitu Awal, Scha dan Lara.

Sehingga hari ini, akaun yang dipantau oleh Awal dan Scha itu sudah mempunyai 25 keping foto.

Dalam pada itu, di ruang biografi turut meletakkan cara yang betul untuk menyebut nama Lyla iaitu Lee-La.



Sebelum ini, Awal, Scha dan Lara mendedahkan nama penuh Lyla menerusi program SchaAwal Baby Boom 2021 yang bersiaran di Astro Ria.

"Lara mulanya mencadangkan nama Lyla dan kami tambah Amina kerana maksudnya yang baik iaitu jujur, setia serta merupakan nama ibu kepada rasul junjungan kita, Nabi Muhammad.

"Jadi saya mengambil kesempatan untuk mengabdikan nama dan maksud yang baik pada anak kedua kami. Doakan Lyla menjadi anak yang solehah,” kata Awal.

Terdahulu, Awal dan Scha berkahwin pada 4 Mei 2012.

Pasangan ini dikurniakan Lara Alana dan Lyla Amina yang dilahirkan pada 12 Februari lalu secara pembedahan di sebuah hospital swasta di ibu negara.