Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

Awal Ashaari Tak Kecil Hati Dihentikan Khidmat Bersama Melodi, Lepaskan Tugas Kepada Nabila Huda!

Asraf Aided
25/07/2021 07:15 MYT
Hari ini menyaksikan hari terakhir pengacara popular Awal Ashaari bersiaran menerusi program hiburan Melodi.

Ia adalah susulan Awal menerima notis penamatan kontrak dari pihak Media Prima Berhad kira-kira dua minggu lalu.

Menurut Awal, dia terkejut dan ralat dengan notis yang diberikan dalam tempoh masa yang agak singkat.

"Jumaat 25 Julai 2021 merupakan hari terakhir saya bersama Melodi, sepanjang MCO, kami bersiaran secara virtual, dan petang Jumaat merupakan rakaman saya yang terakhir bersama Janna, di rumah kami masing-masing.

"Dua minggu? Tentunya satu keputusan yang sukar diterima di saat anak seni rata-rata berdepan dengan kekakangan tidak boleh bekerja, dan industri seni tidak dibenarkan beroperasi, khidmat yang saya curahkan sepanjang 8 tahun bergelar Pengacara Melodi seolah olah terhenti begitu sahaja.

"Ralat, itulah ungkapan yang paling tepat buat masa ini, ralat tak sempat balik ke set Melodi untuk episod akhir, ralat tak dapat buat proper handover kepada bakal pengganti saya, ralat tak dapat jumpa team Melodi yang dah macam keluarga sendiri," katanya.

Awal berkogsi perkara itu menerusi akaun Instagram miliknya.

Bagaimanapun, suami kepada pengacara Scha Alyahya ini tidak berkecil hati dan mengharapkan pengganti dia dan Janna Nick dapat menjalankan tanggungjawab dengan baik.

"Saya percaya kepada rezeki, qada dan qadar, bukanlah niat untuk menongkat langit. Usia lapan tahun sudah cukup untuk mana mana pengacara matang dan beroleh kepuasan dalam program kelolaan mereka. Saya reda dan sikit pun tak ambil hati.

"Kepada pengganti saya di Melodi, tahniah dan saya yakin awak mampu menggalas tanggungjawab ini.

"Melodi bukan sekadar kerjaya, tetapi tanggungjawab dan legasi yang diamanahkan kepada setiap pengacaranya," katanya lagi.

A post shared by Awal Ashaari ® (@awalashaari)



Menerusi perkongsian terbaru di Instagram hari ini, Awal melepaskan tugasan sebagai pengacara Melodi kepada aktres dan hos Nabila Huda.

"Terima kasih Melodi untuk segalanya, saya akan simpan kenangan ini dalam lipatan sejarah kerjaya saya sepanjang 17 tahun menjadi anak seni.

"Kami lepaskan tugas ini kepada @kupu_kupu (Nabila Huda), Tahniah!" tulisnya.

A post shared by Awal Ashaari ® (@awalashaari)


Dalam pada itu, Nabila turut mengumumkan perkara tersebut di akaun Instagram miliknya.

Kata anak legenda rock Amy Search itu, dia akan melakukan yang terbaik sebagai hos solo program berkenaan.

"Saya masih baru, kalau ada kekurangan maafkan saya. Saya mungkin bukan yang terbaik, tetapi saya akan lakukan yang terbaik," katanya.

A post shared by Nabila Huda (@kupu_kupu)


#Nabila Huda #Awal Ashaari #Pengganti #Pengacara Melodi
;