Gaya Hidup
"Awas! Peningkatan Risiko Penyakit Jantung Di Kalangan Ibu Bapa Muda" - Dr Beni Rusani
Kehilangan ibu bapa yang masih muda memberikan impak jauh lebih besar berbanding kehilangan ibu bapa yang lebih tua. Bagi seorang kanak-kanak, ini bermaksud kehilangan kasih sayang, kepercayaan dan model peranan ketika usia pembentukan mereka masih lagi kritikal.
Ini bukanlah satu senario yang baharu. Di Malaysia, penyakit jantung kekal sebagai punca utama kematian dalam kalangan orang dewasa. Kolesterol tinggi, iaitu faktor risiko utama penyakit jantung, menjejaskan 8 juta atau 40% orang dewasa di Malaysia.
Dengan peranan, harapan dan tuntutan terhadap ibu bapa yang kian mencabar serta gaya hidup yang serba pantas, tidak hairanlah golongan ibu bapa berhadapan dengan risiko kolesterol tinggi yang semakin meningkat.
“Pilihan gaya hidup yang tidak sihat sudah menjadi norma ibu bapa muda generasi baharu. Tabiat makan yang tidak sihat, peningkatan tahap stres, gaya hidup sedentari, dan merokok, sebahagian besarnya disebabkan oleh jadual kerja yang sibuk mendedahkan ibu bapa muda kepada risiko kolesterol tinggi dan penyakit kronik tidak berjangkit (NCD).
“Kronik merupakan kata kunci di sini yang bermaksud masalah ini merupakan hasil faktor risiko yang terkumpul bertahun-tahun lamanya," kata Dr Beni Rusani, perunding kardiologi di Institut Jantung Negara (IJN)
Menurut Dr Beni, penyakit jantung lazimnya dikesan dalam kumpulan usia 50-60 tahun. Namun begitu, NCD bukan penyakit yang berlaku dalam masa sehari, malah ianya berpunca akibat tabiat buruk yang berlarutan selama kira-kira 20 tahun.
Lebih membimbangkan lagi, pesakit jantung di Malaysia adalah yang termuda berbanding negara-negara lain di Asia Tenggara.
“Ibu bapa kini mempunyai lebih banyak sebab untuk mengambil berat tentang kesihatan jantung dan kolesterol tinggi sejak awal lagi. Bagi memerangi kolesterol tinggi, sememangnya mencegah adalah lebih baik daripada mengubati.
“Malahan, cara ini sebenarnya lebih murah. Oleh sebab kolesterol tinggi merupakan kesan tabiat buruk jangka panjang, semakin lama diabaikan, semakin sukar untuk dirawat. Ini pula akan menyebabkan kos ubat-ubatan dan rawatan melambung," kata Dr Beni lagi.
Mungkin ramai yang mengeluh, pencegahan lebih mudah dikatakan daripada dilakukan. Jika ibu bapa sukar untuk mendapatkan motivasi, lakukanlah demi anak-anak mereka. Ini adalah kerana kanak-kanak cenderung untuk meniru tingkah laku ibu bapa mereka.
Dalam erti kata lain, ibu bapa harus menunjukkan teladan yang lebih baik seperti mengamalkan diet yang seimbang dan bersenam secara konsisten supaya menjadi ikutan anak-anak mereka. Dengan cara ini, kita dapat memutuskan kitaran negatif di mana mereka mengulangi tabiat buruk ibu bapa mereka, bahkan sebelum mereka menempuh alam dewasa.
“Perkara ini tidak lebih daripada common sense dan keupayaan membuat keputusan secara bertanggungjawab. Dalam erti kata lain, sifat-sifat keibubapaan yang baik," kata Dr Beni lagi.
Setiap langkah, walau sekecil mana sekalipun yang diambil adalah penting, dan ibu bapa harus mula mengubah gaya hidup mereka dan mengamalkan rutin penjagaan kesihatan jantung mereka sekarang, demi menuju kehidupan yang bermakna dengan orang yang tersayang.