Layan Gempak Non-Stop Live hari ini selama 12 jam! Kumpul kata kunci & menang hadiah menarik di sini
Laman Utama

Awie Tak Sabar Showcase Wings Raikan Ramadan – “Selepas Setahun, Akhirnya Kami Dapat Bekerja…”

Fiza Kamarudin 20/04/2021 | 07:50 MYT
Vokalis kumpulan rock legenda, Datuk Awie mengakui teruja dan tidak sabar untuk mengubati kerinduan menerusi ‘Showcase Wings Raikan Ramadan’.
Menurut Awie selepas setahun tidak bertemu peminat dan beberapa siri persembahan yang terpaksa dibatalkan berikutan penularan wabak COVID-19, beliau kini sudah tidak sabar untuk bertentang mata dengan peminatnya.
Menurut Datuk Awie, dia akan memberikan persembahan yang santai dan menenangkan khas buat para peminatnya dan Wings.
“Saya akan menampilkan persembahan yang paling santai dan sedap di halwa telinga pendengar. Peminat datang untuk menikmati juadah berbuka puasa sambil menonton persembahan, jadi mereka tentunya mahukan muzik yang boleh memberikan ketenangan, bukannya muzik yang membingitkan telinga,” katanya.
Dalam pada itu Awie mengakui rata-rata penggiat seni antara golongan yang terjejas teruk berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakkan (PKP) sejak setahun yang lalu.
Namun mereka tidak boleh berputus asa sebaliknya perlu terus bekerja kerana mempunyai ahli keluarga yang perlu ditanggung.
“Sebenarnya saya memegang prinsip hidup harus diteruskan. Kami dah ditentukan Allah untuk menjadi pemuzik, penyanyi dan penghibur.
“Jadi, mahu atau tidak, kami perlu bekerja. Melalui penganjuran showcase ini sekurang-kurangnya dapatlah kami membantu pemuzik, pengurus acara dan mereka yang terbabit dalam industri ini secara tidak langsung.
“Memang tidak dinafikan, pendapatan kami terjejas dengan teruk dalam tempoh pandemik ini. Kami perlu terus bekerja, jika hendak diikutkan rasa takut sampai bila-bila kami tidak boleh bekerja.
“Apa yang penting setiap orang yang terlibat perlu menjalankan tanggungjawab dengan sempurna dan mengikut SOP,” katanya.
Showcase Datuk Awie Raikan Cinta Ramadan anjuran Awie Entertainment dengan kerjasama HS Shazliciious Trading itu bakal berlangsung selama dua hari iaitu pada 30 April bertempat di Hotel Lacrista, Melaka yang akan diringi oleh pemuzik undangan.
Sementara bagi acara di Hotel Premiera, Kuala Lumpur pada 1 Mei, Datuk Awie akan muncul bersama-sama Wings (Showcase Wings Raikan Ramadan) untuk menghiburkan peminat mereka.
Pengurus Projek, Mubarak Akhtar atau Hatta berkata, bagi mengambil keberkatan bulan suci Ramadan, Datuk Awie akan mendendangkan beberapa buah lagu yang berkonsepkan ketuhanan dan kerohanian.
Sementara bagi membangkitkan suasana hari raya, persembahan selama satu jam setengah itu juga akan dimeriahkan dengan rangkaian lagu-lagu raya terbaik.
“Selain persembahan, acara pada malam berkenaan juga akan diisi dengan aktiviti kerohanian di mana kita akan memulakan acara dengan sesi tazkirah sebelum majlis berbuka puasa. Kita juga akan membawakan penceramah terkenal pada acara berkenaan.
“Selepas itu ia akan diikuti dengan majlis berbuka puasa, solat maghrib, isyak dan terawih. Seterusnya persembahan dijangka akan dimulakan kira-kira jam 9.30 malam,” katanya.
Bagaimanapun jumlah penonton untuk menyaksikan persembahan selama dua itu terpaksa dihadkan bagi mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan oleh kerajaan.
Untuk keterangan lanjut hubungi HS Shazlicious di 019-7695588, Hotel Premiera di 03-26151000, Hotel La Crista di 06-2816868 atau Zul Sayap-Sayap Wings di 010-2480106.
#Wings #Datuk Awie #Awie Entertainment #Wings Raikan Ramadan
;