Selepas meraih pelbagai pencapaian menerusi francais BoBoiBoy, Monsta Studio kini bakal mempertaruhkan satu lagi karya terbaharu, Mechamato Movie.

Perkara itu didedahkan menerusi laman Facebook GSC Movie.

Menurut laman tersebut, filem Mechamato akan ditayangkan di pawagam tahun depan dan trailer animasi tersebut akan dilancarkan 1 Januari ini.

“Jom ikuti pengambaraan budak lelaki bernama Amato (Ayah BoBoiBoy) yang menjadi master MechaBot!

“Trailer akan dilancarkan 1 Januari ini,” kata pengendali akaun tersebut.

Pendedahan eksklusif itu sekali gus membuatkan ramai peminat animasi Malaysia teruja dan tidak senang duduk.

Untuk rekod, Mechamato Movie dirancang untuk ditayangkan pada penghujung tahun 2020.

Namun begitu, disebabkan wabak COVID-19, filem serta siri animasi yang dinanti-nantikan itu terpaksa ditangguhkan ke tahun hadapan.

Mechamato berkisarkan penggembaraan seorang pemuda bernama Amato yang secara tidak sengaja menjadi pemilik MechaBot, sebuah Power Sphera yang mempunyai kebolehan untuk ‘Mechanize’ dengan objek lain.

Kemunculan Amato yang telah dewasa dalam babak pasca-kredit BoBoiBoy Movie 2 telah mendedahkan identiti beliau sebagai ayah kepada BoBoiBoy.