HIBURAN
“Ayah Kena Kanser Paru-Paru, Itu Turning Point Saya Berhenti Merokok” – Akim Ahmad
Penyanyi, Akim Ahmad, telah mengambil keputusan untuk berhenti merokok sejak tahun lalu selepas bapanya disahkan menghidap kanser paru-paru tiga tahun lepas.
Katanya, pengalaman itu menjadi titik tolak buat dia dan adik-beradik lelaki yang lain untuk meninggalkan tabiat merokok dan mula memberi tumpuan kepada gaya hidup yang lebih sihat.
“Keputusan berhenti merokok tahun lalu sebenarnya dibuat selepas tiga tahun ayah saya didiagnos kanser paru-paru.
“Jadi ‘turning point’ untuk saya dan adik-beradik lelaki yang lain, kami membuat keputusan tidak lagi merokok.
Kami ambil pendekatan untuk menjalani gaya hidup lebih baik dan sihat,” katanya kepada Gempak.
Akim berkongsi perkara itu ketika ditemui pada sidang media Konsert Akim & The Majistret yang berlangsung di Dadi Cinema, Pavilion, Kuala Lumpur pada Rabu.
Tambah pelantun lagu Mewangi itu, dia juga dapat melihat banyak perubahan positif dalam dirinya selepas berhenti merokok.
“Saya gembira melihat perkembangan diri saya selepas tidak lagi merokok dan saya lihat kesihatan bapa saya juga bertambah baik selepas dia berhenti merokok.
“Dalam masa sama, ia membantu karier saya sebagai penyanyi. Bila saya berhenti merokok, saya ada tenaga untuk bertahan lebih lama ketika beraksi di pentas,” ujarnya.
Walaupun begitu, Akim mengakui proses untuk berhenti merokok bukanlah sesuatu yang mudah.
Namun, di sebalik kesukaran itu, Akim bersyukur kerana menerima sokongan penuh daripada keluarga, terutamanya ayahnya yang sentiasa memberi dorongan serta nasihat.
“Saya tak nafikan pada mulanya memang susah untuk berhenti merokok ini. Saya selalu tanya pada diri sendiri, perlukah saya berhenti terus atau bagaimana.
“Alhamdulillah ayah saya selalu berpesan kalau rasa tak tahan untuk tidak merokok, dia suruh saya banyakkan berzikir.
“Saya selalu beristighfar dan itu sebagai salah satu cara terapi untuk saya bermeditasi, fokus kepada perkara lebih baik,” tambahnya lagi.
Dalam perkembangan lain, Konsert Akim & The Majistret dijadualkan berlangsung pada 28 Jun ini di Mega Star Arena, Kuala Lumpur. Lebih 20 buah lagu akan dipersembahkan secara langsung dalam konsert yang digambarkan sebagai manifesto muzik rock Malaysia.
Tiket boleh didapati secara dalam talian di www.ticket2u.com.my dengan harga bermula RM159 hingga RM249.