Sebelum ini kisah mengenai kaum bapa jarang diketengahkan dalam karya tempatan, selalunya penonton akan disajikan dengan kisah para ibu dan kaum hawa.

Sehubungan dengan itu, portal hiburan Gempak di bawah payung penjenamaan ‘Gempak Original Series’ dengan berbesar hati membawakan drama bersiri komedi romantik ‘Ahli Bapak Bapak Club’(AABC).

AABC mengangkat golongan lelaki, suami dan bapa moden dalam menghadapi konflik, persahabatan, kerjaya dan keluarga.

Idea asal drama bersiri 10 episod arahan sutradara Tam Suhaimi ini dicetuskan oleh tenaga kreatif Gempak dengan kerjasama syarikat produksi Global Station Sdn. Bhd.

Naib Presiden Ketua Astro Shaw & Nusantara, Raja Jastina Raja Arshad berkata, selepas drama Televisyen The Maid dan Ramadan Pertama Edi mendapat tempat di hati penonton, Gempak akan terus konsisten menghasilkan karya-karya berkualiti.

“Terdahulu kami telah hasilkan drama televisyen The Maid dan Ramadan Pertama Edi yang mana setiap karya tersebut telah mengangkat subjeknya yang tersendiri untuk disampaikan kepada penonton.

A post shared by Astro Gempak (@astrogempak)


“Terus konsisten dalam menghasilkan karya yang berkualiti dan menepati cita rasa penonton, jenama Gempak yang juga merupakan peneraju kandungan alaf baharu, kali ini mempertaruhkan subjek dan topik yang tidak kerap diketengahkan di kaca televisyen iaitu cabaran golongan lelaki terutamanya kaum suami dan bapa moden dalam menyeimbangkan kerjaya, keluarga, minat, keperluan peribadi dan kehidupan secara umum dalam mengharungi zaman serba mencabar ini.

“Menerusi genre komedi dan jalan cerita yang diketengahkan, kami yakin isu dan elemen-elemen yang diselitkan pasti dekat dengan penonton.

“Tambah menarik, jalan cerita ini dibawa dengan begitu berkesan dengan lakonan mantap oleh barisan pelakon berpengalaman serta bakat-bakat baru yang tidak pernah ditonjolkan sebelum ini.

“Kami harap drama tersebut mampu menambat hati penonton serta membuka mata pelbagai pihak untuk lebih memahami situasi golongan ‘bapak’ di zaman serba moden bahawa mereka juga turut berdepan dengan isu yang mungkin kurang didedahkan.

“Ini juga adalah kali pertama pihak kami bekerjasama dengan Tam Suhaimi sebagai pengarah drama ini.

“Kami yakin beliau mampu memberi sentuhan magis pada drama tersebut, lebih-lebih lagi Tam Suhaimi amat sinonim dengan mengarahkan karya romantik komedi. Melalui “kerjasama ini, ia memberi peluang kepada kedua-dua pihak untuk bertukar idea dan sekali gus menghasilkan sesuatu yang berbeza,” katanya.

Drama bersiri ‘Ahli Bapak Bapak Club’ bakal bersiaran pada setiap hari Rabu, jam 9.30 malam mulai 19 Mei 2021 (malam ini) secara eksklusif di saluran Astro Ria HD (104).

A post shared by Astro Gempak (@astrogempak)


AABC juga boleh distrim menerusi portal Gempak, aplikasi Astro GO dan on demand untuk pilihan yang lebih fleksibel.

Manakala kapsul istimewa dalam format temu bual yang memaparkan pelbagai perkongsian santai pengalaman, nasihat serta tips menjadi bapa yang baik dan cool.

Kapsul akan menampilkan karakter utama ‘Ahli Bapak Bapak Club’ iaitu Joe (Aiman Hakim Ridza), Bob (Luqman Hafidz) dan Nik (Steve Yap) pula akan ditayangkan pada setiap hari Rabu, jam 10.00 malam mulai 19 Mei 2021 secara eksklusif di kesemua platform digital Gempak.

Antara topik perkongsian menarik yang akan ditampilkan ialah ‘Cara Nak jadi Cool Dad’, ‘Trend Kesukaan Anak’, ‘Waktu Terbaik Untuk Me Time Seorang Bapak’ dan banyak lagi.