"Ayah Meninggal Dunia Sewaktu Umur Saya 15 Tahun, Johan Pergi Sebelum Anniversary Ke-25" - Nora Ariffin

Amri Hassan
Oktober 1, 2018 13:41 MYT
Penyanyi Nora Ariffin berkongsi isi hatinya selepas lebih setahun kehilangan suaminya, Johan Nawawi.
Menerusi entri di Instagramnya baru-baru ini, kata Nora dia menanggung rindu mengenangkan kedua-dua insan yang amat dicintainya yang telah pergi terlebih dahulu.
"Sesungguhnya pemergian Johan telah banyak mengajar saya erti kehidupan, hakikat dan takdir hidup yang sebenarnya.
"Saya tak pernah terfikir dia akan pergi begitu cepat. Saya belum bersedia...
"Ayah saya meninggal sewaktu saya berumur 15 tahun... Dikala waktu remaja yang perlukan perhatian dan kasih sayang seorang ayah.
"Johan pergi di waktu kami sedang bahagia dan merancang untuk anniversary yang ke-25 tahun kami. Rindu memang tak terkata," tulis Nora.
Pelantun lagu Hanyalah Satu itu reda dengan ketentuan ilahi dan mengakui dia perlu kuat demi anak-anaknya.
"Hingga kini, pelbagai cabaran, dugaan dan ujian yang harus ditempuhi. Saya tiada pilihan.
"Semuanya harus diredah dengan penuh kesabaran, ketabahan dan senyuman untuk menutup segala keperitan.
"Demi anak-anak, saya harus kuat.
"Saya tidak pernah mengharapkan bantuan sesiapa pun.....apatah lagi meraih simpati," tambahnya.
Suami Nora, Johan Nawawi yang juga seorang komposer terkenal meninggal dunia pada Mac lalu akibat serangan jantung.
#Penyanyi #Nora Ariffin #Penyanyi #Johan Nawawi