Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

“Ayah Tak Lawan, Lindung Lengan Kiri & Pinggang Takut Tapak Dialisis Pecah” - Luluh Hati Anak Lihat Bapa Dipukul

Mya Amri
24/05/2022 05:42 MYT
Rakaman video tular yang merakamkan warga emas yang dibelasah oleh seorang penunggang motosikal mengundang simpati masyarakat.

Tidak cukup dengan itu video berkenaan juga menimbulkan pelbagai tanggapan dan spekulasi mengenai kejadian tersebut.

Terbaharu, susulan kejadian itu seorang lelaki tampil mendakwa dirinya anak kepada mangsa menjelaskan perkara yang berlaku.

Menurut lelaki tersebut, hatinya luluh melihat bapanya yang berusia 61 tahun, menghidap penyakit buah pinggang dan menjalani dialisis dipukul bertubi-tubi.

“Terlebih dahulu saya ucapkan terima kasih kepada saksi dan orang awam yang cuba menyelamatkan pakcik tua tersebut.

“Sebagai anak yang menguruskan ayah saya yang sedang sakit buah pinggang (dialisis), luluh hati ini melihat dia dipukul. Adakah dia layak dipukul sebegitu rupa?

“Sedih saya melihat penyebaran fitnah berlaku dengan mudahnya apabila pelbagai tuduhan diberikan. Adakah ini amalan yang dituntut dalam agama ? Astaghafirullah…” tulisnya menerusi satu perkongsian tular di Facebook dengan nama Muhammad Azzali Zainoldin.

Dalam hantaran yang sama, Muhammad Azzali juga turut menjelaskan kronologi kes yang menimpa bapanya.

“Setelah disusun atur dari saksi-saksi, kronologi kes bermula apabila ayah saya yang memandu sedang bersedia untuk pusing ke arah kanan untuk naik ke jambatan dari jalan bawah jambatan.

“Tanpa disedari datang satu motor yang agak laju memintas kereta ayah. Bukan untuk ke kanan manaiki jambatan . Tetapi dia memintas di sebelah kanan untuk terus ke jalan Mat Raji. Disebabkan itu, suspek merasa tidak selamat dan terus memaki ayah saya dengn jeritan yang kuat.

“Sebagai seorang yang tua dan berumur, ayah saya rasa bersalah dan dia keluar dari kereta untuk melihat apa yang terjadi kerana risau jika ada pelanggaran dan cedera pada suspek. Tiada sedikit pun pelanggaran berlaku selepas dipastikan,” maklumnya.

Jelas Muhammad Azzali lagi, suspek kemudiannya berasa tidak puas hati dan melulu terus memukul bapanya.

“Dek kerana tidak puas hati dan melihat ayah keluar dari kereta, suspek u turn dan kembali ke kereta ayah dan parking di sebelah kereta (bahagian penumpang). Dia terus melulu ke arah ayah dan terajang.

“Apalah kederat orant tua yang baru lepas dialisis semalam. Dia tumbang di situ. Tidak cukup lagi, dia naik atas badan ayah dan terus tidak henti-henti menumbuk muka dan sambung memijak badan ayah.

“Kata-kata seperti ‘mati kau’ berulang kali disebut oleh suspek. Jikalau anda perasan, ayah tidak melawan kerana dia tiada daya upaya,” coretnya.

Lebih menyedihkan lagi, bapanya juga cuba melindungi lengan kiri dan pinggang kerana khuatir tapak dialisisnya pecah.

“Dia tertanya-tanya apa salah. Dan jikalau kita perasan lagi, sewaktu dipukul ayah sedang melindungi lengan kirinya dan pinggangnya dari tercedera. Ini kerana risau tapak dialisisnya pecah atau putus.

“Mak dan anak buah (3 tahun setengah) yang berada di dalam kereta hanya mampu melihat seorang suami dan atuknya dipukul,” jelasnya.

Muhammad Azzali juga turut menafikan dakwaan yang mengatakan warga emas itu menunjukkan jari tengah kepada suspek.

“Seorang yang berumur bersama isteri dan cucu boleh jerit atau tunjukkan jari lucah ‘f*ck’ pada suspek yang dia risau tadi?

“Jawapan tidak. Tiada perkataan atau perbuatan tersebut dibuat. Ini hanya kata-kata dari mulut suspek untuk memohon ehsan simpati atas tindakannya.

“Selepas kedua-dua mereka selesai membuat laporan polis, ayah telah pun dibawa ke hospital Shah Alam. Setelah keluar, badannya masih lemah dan dia mengadu masih sakit di rusuk kiri,” tulisnya.

Dia juga turut mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang membantu melindungi bapanya.

“Tidak terbalas budi anda semua. Dialah satu-satunya ayah yang saya masih ada untuk saya jaga,” tulisnya

Sumber: FB Muhamad Azzali Zainoldin via Orang Kampung Padang Jawa

#Tular #warga emas #Padang Jawa #Dialisis #Pakcik Dibelasah #Warga Emas Dipukul
;