Ketika negara sedang menjalani Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini, pastinya ramai yang merindukan kemeriahan membeli juadah berbuka puasa di bazar Ramadan.

Demi kebaikan bersama, bazar Ramadan terpaksa dibatalkan sehinggalah wabak COVID-19 dapat dihapuskan.

Walaubagaimanapun, ia tidak bermakna jualan makanan terhenti di situ kerana pelbagai kumpulan bazar Ramadan di seluruh negara telah diwujudkan dalam laman sosial Facebook.

Menerusi laporan Bernama, antara yang menjadi perhatian termasuklah Bazar Ramadan Online (BRO) Ampang, Batang Kali, Shah Alam, Seremban, Ipoh, Taiping, Satok-Petrajaya, Semporna, Kuala Nerus, Dungun, Batu Pahat dan lain-lain kawasan.

Malah, platfom ini turut menjual juadah makanan dan minuman popular ketika berbuka puasa antaranya bubur lambuk, martabak, roti John, sup 'gearbox', ayam percik, air katira, cendol, popia basah, kuih tepung pelita dan banyak lagi.

Selain itu peniaga juga dilihat mula membuat pelbagai iklan dan dipromosi dalam kumpulan masing-masing.

Sementara itu, Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) Kementerian Kesihatan dalam laman rasminya turut mengeluarkan beberapa garis panduan bagi keselamatan makanan sebagai rujukan penyediaan makanan bagi pengusaha makanan dari rumah (Home-Based).

Antara syarat asas yang perlu dipatuhi seseorang pengendali makanan ialah telah mendapatkan suntikan vaksin antitifoid, amalkan kebersihan sepanjang mengendali makanan seperti kerap mencuci tangan dengan sabun, menggunakan penyepit atau sarung tangan, memakai penutup hidung dan mulut serta persekitaran memasak termasuk alatan penyediaan yang digunakan adalah bersih.

Apapun pastikan makanan yang dibeli bersih dan selamat untuk dimakan.

Selamat berpuasa dan berbuka!

Sumber : Bernama