Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

“Ayash Senyum Dekat Siapa Tu, Sayang…” – Sudah 100 Hari Tetapi Shuib Masih Terasa Seperti Allahyarham Siti Sarah Ada Disisi

Fiza Kamarudin
17/11/2021 06:24 MYT
Pelawak dan usahawan, Shuib tidak menafikan meskipun sudah 100 hari pemergian isterinya, dia tetap berasakan kehadiran Allahyarham disisi.

Kata Shuib, berada di dewan ketika mengadakan majlis aqiqah, cukur jambul dan tahnik serta tahlil malam tadi pun ingatannya tetapi kepada Siti Sarah.

“Saya masih ingat ketika kami mula-mula beli rumah di sini, Allahyarham ada cakap nanti senang kita nak buat majlis apa-apa sebab ada dewan cantik.

“Kalau perasan apa-apa majlis kami…Memang kami akan adakan di sini. Jadi malam ini saya rasa macam dia ada bersama kami.

“Dia (Allahyarham) kan seorang yang ceria. Di mana-mana dia pergi pasti meriah dan kecoh dengan telatah dia. Jadi bila dia tak ada memang terasa sangat-sangat,” katanya kepada Gempak.

Tambah Shuib lagi dia tahu ada sesetengah beranggapan dirinya masih belum boleh ‘move-on’ sejak pemergian Allahyarham pada 9 Ogos lalu.

“Bukan tak ‘move-on’ tetapi kehilangan ini seperti rindu yang tiada penghujungnya. Sukar hendak saya luahkan dengan kata-kata.

“Memang betul setiap orang akan melalui detik kehilangan, tetapi apabila sudah melaluinya sendiri, memang ambil masa untuk terima.

“Baru-baru ini pun ketika pergi bercuti di Pulau Langkawi, anak saya Uwais ada tanya ingat tak Daddy dengan Ibu pernah datang sini?.

“Bila keluar soalan-soalan macam itu, perasaan ini jadi rapuh. Cepat sahaja menangis apabila terkenangkan dia,” katanya.

Shuib ditemui pada majlis aqiqah, cukur jambul dan tahnik anak keempatnya, Ayash Affan yang berusia tiga bulan dan tahlil sempena 100 hari pemergian Siti Sarah yang diadakan di dewan tempat tinggal mereka, di Puchong pada malam Selasa.

Sementara itu, menerusi hantaran di Instagram (IG)nya malam tadi Shuib telah memuat naik foto bersama Ayash Affan yang sedang tersenyum ketika memalingkan wajahnya ke sebelah kiri.

“Ayash senyum dekat siapa tu sebelah daddy sayang…Alhamdulillah Syukur Ya Allah…Allah maha tahu di atas segalanya.Amin ya Rab,” tulisnya pada ruangan kapsyen.

Hantaran tersebut telah mendapat hampir 2,500 komen yang rata-ratanya tidak putus-putus mendoakan agar Shuib terus kuat mengharungi hari-hari mendatang bersama anak-anaknya.

#Shuib #100 Hari Pemergian Siti Sarah #Aqiqah Tahnik Cukur Jambul
;