Pengarah dan penulis drama bersiri Nur, Shahrulezad Mohameddin akui kesilapan yang telah dilakukan dalam Nur 2.

Oleh sebab itu, sebagai pengarah Ezad bertanggungjawab menyelesaikan isu tersebut.

"Saya sebagai pengarah dalam drama Nur 2 perlu bertanggungjawab menyelesaikan masalah ini.

"Sebenarnya isunya adalah bacaan panjang pendek sahaja tetapi di dalam al-quran ia sudah membawa makna yang berbeza. Itu yang saya takut.

"Kalau setiap hari penonton hafal dan mengamalkan ayat itu siapa yang akan tanggung nanti?

"Jadi secara peribadi saya merasakan perkara ini perlu diperbetulkan dan akui kesilapan datang dari pihak kami," katanya kepada Gempak.

Shahrulezad ditemui di malam Drama Festival Kuala Lumpur 2019 (DFKL) yang diadakan di Putrajaya International Convention Centre (PICC), Ahad lalu.

Tambah Shahrulezad, dia memohon maaf kepada semua pihak kerana ayat al-quran tidak boleh dibuat main.

"Kami telah membuat semula babak tersebut dengan mendapat rujukan daripada pihak JAKIM.

"Kami tampal semula 'master' dan terus hantar kepada stesen televisyen.

"Saya mohon maaf kepada semua orang kerana ayat al-quran bukan perkara yang boleh dibuat main," katanya lagi.

Drama Nur telah berjaya merangkul trofi Drama Pilihan. Bagi kategori Penulis Skrip dan Pengarah Pilihan, Nur memperoleh kemenangan menerusi Shahrulezad.

Selain itu, teraju utamanya iaitu Syafiq Kyle dan Amyra Rosli telah memenangi kategori Aktor Pilihan dan Pasangan Pilihan.

Di samping itu, Azhan Rani turut memenangi untuk kategori Antagonis Pilihan.