Hiburan
Ayda Jebat Tiada Masa Fikir Mengenai Haters
Penyanyi dan pelakon Ayda Jebat tiada masa untuk memikirkan mengenai golongan pembenci (haters).
Menyedari yang dia kini kian dikenali ramai dan mengecapi limpahan populariti, Ayda tahu akan kewujudan pihak yang mahu menjatuhkan dirinya.
"Ada pihak yang suka, ada juga bersifat sebaliknya. Saya tahu mengenai perkara itu. Pasti ada pihak yang kurang senang. Namun begitu, saya hanya mengambil pendekatan positif.
Advertisement
"Saya sendiri tak mahu fikirkan mengenai perkara tersebut kerana saya terlalu sibuk dengan perjalanan kerjaya saya. Biar sahaja saya fokus dengan nyanyian dan lakonan. Saya mahu terus memberikan yang terbaik kepada penyokong saya, terutamanya kepada AJScreamers," kata Ayda kepada Astro Gempak.
Bersetuju dengan kenyataan yang namanya kian dikenali, Ayda menafikan dia kini mengecapi zaman kegemilangan sebagai seorang anak seni.
"Saya akui lebih ramai orang kenal saya berbanding dahulu. Namun begitu, saya tidak merasakan yang sekarang ini merupakan zaman kegemilangan saya.
"Saya masih dalam proses pembelajaran dan banyak perkara yang perlu saya belajar. Saya juga perlu berusaha dengan lebih keras untuk berada di tahap tersebut," kata Ayda yang ditemui di majlis pelancaran dan perasmian produk House of Dre (HOD) semalam.
Ayda menerima pelawaan pengasas HOD, Datuk Rafiena Ezanee Ramli untuk menjadi duta rangkaian produk HOD yang terdiri daripada koleksi spa dan wangian kerana hubungan mereka yang akrab.
"Hubungan saya dan Rafiena bermula atas dasar kerja antara pelakon dan penerbit. Lama kelamaan, saya dan Rafiena sudah seperti kakak dan adik. Kami mempunyai minat yang sama. Wangian yang digunakan untuk produk HOD ini adalah campuran antara wangian kegemaran saya dan Rafiena," katanya.
Ketika ditanya mengapakah Ayda tidak muncul dengan wangian jenama sendiri, penyanyi lagu Pencuri Hatiku ini belum bersedia untuk melakukan perkara tersebut.
"Saya sedar sekarang ramai selebriti yang muncul dengan wangian jenama sendiri. Namun begitu, saya belum mempunyai masa yang cukup untuk mencari formulasi dan berusaha untuk tampil dengan wangian jenama Ayda Jebat kerana sibuk dengan jadual kerjaya yang padat.
"Saya menaruh kepercayaan dengan formulasi yang digunakan oleh produk HOD. Saya juga yakin produk ini mempunyai tarikan tersendiri kerana Rafiena merupakan seorang yang teliti dan mementingkan kualiti dalam setiap produk keluaran HOD," kata pelakon filem Pinjamkan Hatiku itu.
Produk HOD boleh didapatkan secara atas talian menerusi laman sesawang www.houseofdre.com atau gunakan kata kunci 'House of Dre' di laman Facebook. Produk HOD juga boleh dibeli menerusi laman Instgram @houseofdre_my.
Teks oleh: Kamaruddin Razal.
Must-Watch Video