Borak & chill dari isu semasa ke topik viral. Tonton rancangan bual bicara di SeeNI sekarang!
Hiburan

Ayie Diminta Berehat Panjang, Floor 88 Mahu Ambil Vokalis Kedua

Azwa Rahman 21/01/2020 | 08:42 MYT

Vokalis Kumpulan Floor 88 Ayie Elham bercadang untuk mencari vokalis kedua untuk bergandingan bersamanya ketika mereka mengadakan persembahan.

Menurut Ayie, rancangan untuk mencari vokal sokongan sudah lama ada namun belum terlaksana kerana beberapa kekangan.

“Sebenarnya plan tu dah ada dari dulu lagi cuma satu kami tak ada masa nak cari back-up vokal. Lagi satu, kami tak ada kenalan yang kami rasa boleh jadi back-up vokal lagu-lagu Floor 88.

“Kalau ikutkan pada malam kejadian pitam tu, gitaris Floor 88 memang ada back-up vokal saya. Tapi bila saya dah jatuh, tak kan dia nak nyanyi sorang,” jelas Ayie kepada Gempak.

Di laman sosial Instagram, Floor 88 sudah mengadakan pencarian bagi vokalis kedua susulan Ayie perlu direhatkan seketika sebagai penyanyi utama sehingga dia betul-betul pulih.

“Di atas saranan doktor, kami Floor 88 sedang mencari penyanyi untuk bersama-sama menyanyi dengan @ayieelhamf88 di atas pentas sehingga kesihatan dia benar-benar pulih,” tulis kumpulan tersebut sebagai kapsyen.

Sebagai vokalis kedua, mereka mencari lelaki atau perempuan berumur 18 hingga 25 tahun yang boleh menyanyi dengan baik. Vokalis kedua tersebut perlulah berpewatakan menarik, bersopan-santun serta pandai mengambil hati.

Floor 88 juga mencari seseorang yang tidak merokok, tidak mengambil dadah dan minuman keras.

Pada mereka yang berminat, muat naik rakaman menyanyikan lagu Floor 88 di Instagam dengan menggunakan #2ndvokalisfloor88.

Minggu lalu, Ayie mengejutkan peminat apabila rebah ketika membuat persembahan di Konsert Gempak Negeri.fm sempena meraikan Hari Keputeraan Ke-72 Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir di padang awam Seri Menanti, Kuala Pilah.

#Selebriti #muzik #Vokalis
;