Dunia hiburan Indonesia dikejutkan dengan berita penyanyi dangdut Ayu Ting Ting membatalkan pernikahannya.

Menurut laporan media Republik tersebut, Ayu Ting Ting sepatutnya menikah dengan kekasihnya, Aditya Jayusman pada pertengahan bulan ini.

Majlis pertunangan dan pernikahan didakwa mahu dilangsungkan pada 14 Februari 2021. Semuanya dilihat berjalan dengan lancar sehingga kelmarin, khabar pernikahan mereka dikatakan tidak akan terjadi beredar.

Tidak mahu spekulasi itu menjadi semakin parah, Ayu Ting Ting akhirnya memberi kenyataan.

"Iya rancangan pernikahan saya batal. Majlis dibatalkan," kata Ayu Ting Ting kepada media Indonesia.

Meski demikian, penyanyi yang juga janda anak satu itu tidak memberitahu mengapa dia mengambil keputusan yang cukup mengejutkan itu.

"Saya yang memutuskan (hubungan) dan minta maaf kerana tidak boleh berkongsi alasannya. Biar ia menjadi urusan peribadi saya," kata Ayu Ting Ting.

Penyanyi yang menjadi popular menerusi lagu Alamat Palsu itu diketahui menjalin cinta dengan Aditya yang juga seorang duda sejak tahun lalu.

Perempuan berusia 28 tahun itu kemudian tidak bersembunyi mengenai hubungannya bersama Aditya awal tahun ini sebelum khabar pernikahan mereka berhembus sejak Oktober 2020.

Namun, selepas persiapan pernikahan mereka sudah melebihi 70 peratus, Ayu Ting Ting memilih untuk membatalkan hasratnya kembali memegang status isteri.

Sementara itu, pihak jabatan agama, hotel dan pereka fesyen juga mengakui Ayu Ting Ting telah datang bertemu mereka sekaligus membatalkan semua tempahan dan rancangan pernikahannya.