Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

Ayuh Rakyat Malaysia, Tunjukkan Solidariti Sertai Kempen 11 Minit Untukmu Palestin

Gempak
11/11/2023 07:46 MYT
Rakyat Malaysia diajak untuk bersama-sama bersolidariti dan menyertai kempen '11 Minit Untukmu Palestin' pada 11 Nov ini bermula 9 malam hingga 9.11 malam.

Pengarah Operasi Gabungan Solidariti Pembebasan Palestin (GSPP) Muhd Farhan Muhd Fadhil berkata kempen yang dianjurkan gabungan itu menyeru orang ramai untuk meluangkan masa selama 11 minit bergelap dengan menutup lampu di lokasi masing-masing.

Beliau berkata inisiatif yang dirancang dilakukan secara serentak di seluruh negara itu sebagai tanda kebersamaan Malaysia dalam menyelami penderitaan rakyat Palestin di Gaza yang menerima serangan berterusan rejim Israel sejak 7 Okt lepas sehingga hari ini.

BERITA TRENDING: Faizal Tahir Adakan Showcase, Lelong Barang Peribadi Demi Faith4Palestine - "Ini Bukan Acara...

Tarikh 11.11 dipilih kerana ia sinonim dan mudah diingati dengan kita contohnya, penganjuran promosi jualan barangan tertentu, tapi pada tarikh sama itu kita cuba bawa kelainan mengajak orang ramai untuk membentuk satu gelombang kebersamaan dalam isu konflik Palestin-Israel.

"Jadi, kita ambil sedikit masa 11 minit bermula dari 9 malam bergelap dengan menghayati suasana ketakutan rakyat Palestin yang ada ketikanya mereka bergelap kerana terputus bekalan elektrik berjam-jam lamanya diselangi pula dengan serangan bom rejim Israel tidak henti-henti," katanya ketika dihubungi Bernama.

GSPP adalah gabungan lebih 50 pertubuhan dan badan bukan kerajaan (NGO) terdiri daripada pelbagai latar belakang bersifat kebajikan, undang-undang, kemanusian dan dilancarkan pada 11 Okt lepas.

Muhd Farhan berkata pada tempoh 11 minit itu juga orang ramai diseru untuk mengadakan aktiviti bersama keluarga atau secara individu di kediaman masing-masing seperti solat hajat, bacaan Qunut Nazilah, bertafakur dan berdoa untuk kesejahteraan rakyat Palestin.

"Melihat situasi semasa di Semenanjung Gaza, peperangan yang berlaku ini adalah penentu masa hadapan untuk rakyat Palestin, sama ada berjaya melawan gerakan penjajahan Israel atau tidak...kalau kita tidak buat gerakan sekarang, kemungkinan terjadi peristiwa Nakbah Kedua atau penghapusan etnik selepas kali pertama pada 1948.

"Adalah menjadi tanggungjawab kita sebagai orang Islam untuk menyokong penuh dalam isu Palestin ini supaya dapat menekan pihak berkaitan dan dunia antarabangsa untuk bertindak menggagalkan rancangan penjajahan rejim Israel," katanya.

PILIHAN PEMBACA: 3 Anak Yatim Palestin Ditaja Secara Bulanan Oleh Rakyat Malaysia Terkorban Dalam Serangan Zionis

Muhd Farhan berkata sebaik kempen tamat pada 9.11 malam, orang ramai juga digalakkan merakamkan gambar masing-masing dengan genggaman tangan dan dimuat turun dalam media sosial dengan tanda pagar #SebarkanKemenangan dan #AkhiriPenjajahan supaya mesej solidariti Palestin sampai ke seluruh dunia. -BERNAMA

#Viral #Palestin #Soladiriti #Kempen 11 Minit
;