Azad Jasmin Kesian Tengok Remaja Jual Burger Dalam Hujan, Seru Orang Ramai Sama-Sama Beli - "Kita Bersenang Di Rumah Mereka Mencari Rezeki ..."

Zulaikha Yusof
Jun 21, 2021 00:50 MYT
Pelakon Azad Jasmin, 45, memohon kepada orang ramai untuk membantu seorang remaja yang menjual burger di kawasan Shah Alam.
Menurut Azad atau lebih mesra disapa Pak Azad berkata lelaki itu sangat cekal apabila sanggup berniaga dalam keadaan hujan lebat di tepi jalan raya.
Katanya lagi, anak muda tersebut tidak meminta sedekah wang ringgit tetapi sekadar menginginkan jualannya habis terjual.
"Tolong la, sesiapa yang lalu kawasan Shah alam.. Tolong la budak ni, dia tak minta duit.
"Dia cuma minta anda kalau terjumpa dia, beli lah burger dia nah. Anda bantu dia Allah SWT pasti bantu anda," tulisnya di Instagram (IG).
Menerusi perkongsian video, lelaki yang memakai kopiah itu berdiri sambil memegang beberapa bungkusan burger dengan pakaiannya habis basah lencun.
Dalam pada itu, suami kepada aktres Eira Syazira ini turut menitipkan doa agar Allah melindungi lelaki tersebut serta keluarganya.
"Hujan Rahmat, Ya Allah Ku pohon padamu, jagalah insan ini bersama keluarganya. Amin amin amin. Kita bersenang di rumah, mereka mencari rezeki dalam hujan di luar," tulisnya lagi.
Di ruangan komen, rata-rata peminat bersimpati melihat situasi anak muda itu yang berusaha mencari rezeki demi sesuap nasi.
"Ya Allah dengan hujan lebatnya dia gigih cari rezeki. Salute awak adik, awak usaha tanpa meminta.
"Ya Allah kesiannya, semoga Allah murahkan rezeki dia.
"Sedihnya tengok. Semoga Allah mudahkn urusan adik ini dan dimurahkan rezekinya juga terhadap orang-orang yang membantu adik ini.
"Allah kesiannya cari rezeki terpaksa redah hujan-hujan macam ini. Semoga dimurahkan lagi rezeki keluarga adik ini," antara komen-komen yang ditinggalkan.
#Azad Jasmin #Shah Alam #Hujan Lebat #Remaja Jual Burger