Mustika hati rakyat Malaysia, Datuk Seri Siti Nurhaliza memberitahu ada menyimpan hajat untuk menambah cahaya mata tahun hadapan.

Hasrat itu menjadi salah satu daripada azam tahun baru 2019 yang akan membuka tirai beberapa hari sahaja lagi.

"Perancangannya masih sama. Daripada segi kerjaya saya mahukan album baharu tahun depan dan lebih banyak lagi persembahan di pentas baharu.

"Begitu juga bisnes SimplySiti dan Creacion semoga bertambah sukses.

"Menjadi ibu yang boleh mendidik anak saya dengan baik.

"Tentang tambah anak pula, mungkin apabila Aafiyah sudah berusia dua tahun baru boleh pertimbangkan," katanya kepada Gempak.

Tahun 2018 menyaksikan Siti menjadi ibu selepas penantian selama 11 tahun.

Malah, Siti dianugerahkan darjah kebesaran Sri Sultan Ahmad Shah Pahang (SSAP) yang membawa gelaran Datuk Seri pada Oktober lalu.

Tahun 2019 pula bakal melakar sejarah sekali lagi buat penyanyi nombor satu negara itu apabila bakal kembali ke Royal Albert Hall, London untuk mengadakan konsert Dato' Sri Siti Nurhaliza On Tour pada 22 April 2019.

Konsert Dato' Sri Siti Nurhaliza On Tour bakal bermula pada 21 Februari 2019 di Istora Senayan, Jakarta, Indonesia dan kemudian ke lokasi seterusnya di Singapore Expo, Singapura pada 21 Mac 2019.

Manakala peminat di Malaysia boleh menyaksikan konsert itu di Arena Axiata, Kuala Lumpur pada 16 Mac 2019.