DRAMA

Azhan Rani Akui Watak Syukri Dalam Seribu Tahun Mencabar - “Inilah Karya Paling Susah & Paling Lama Saya Bawakan”

Mya Amri 07/03/2025 | 04:55 MYT

Pelakon, Azhan Rani akui agak mencabar untuk menjayakan watak sebagai Syukri dalam drama terbaharu berjudul Seribu Tahun.

Keluar dari watak antagonis

Menurut Azhan, sebelum ini dia sudah membawakan dua watak ikonik iaitu Ustaz Madi menerusi drama Nur dan Wan Jusoh dalam Khunsa.

Namun kali ini, pengarah Seribu Tahun iaitu Shahrulezad berjaya membawanya keluar dari kepompom watak antagonis.

“Kali ini saya membawakan watak Syukri dalam drama Seribu Tahun arahan Budak Ijat. Ramai tahu saya sudah beberapa kali berlakon di bawah arahannnya antaranya Nur dan Khunsa.

“Dua naskhah itu mewujudkan dua watak yang sinonim dengan penonton iaitu ustaz Madi dan Wan Jusoh.

“Jadi bila drama Khunsa ditayangkan Ramadan tahun lalu, kemana-mana saya pergi orang panggil dengan nama Wan Jusoh dan orang geram dengan rambutnya yang ikonik.

“Untuk drama Nur, sebagai Ustaz Madi saya bawakan watak antagonis manakala melalui Khunsa, karakter Wan Jusoh pula adalah seorang suami dan ayah yang sangat melampau ketegasannya.

“Tetapi kali ini untuk Seribu Tahun, saya membawakan watak Syukri. Sebuah tindakan luar biasa dan berani Budak Ijat membawa saya keluar daripada kepompong watak hitam atau antagonis.

“Kali ini saya dipertaruhkan serta dibebankan dengan watak kesayangan kepada penonton. Syukri merupakan watak ikonik suami yang mempertahankan cinta agung terhadap isteri walau diasak dengan pelbagai dugaan hidup.

“Inilah Syukri yang telah digarap oleh Sharulezad dari sudut yang sangat berbeza,” jelasnya.

Karakter paling susah dilakonkan

Tambah Azhan lagi, watak Syukri ini merupakan antara karakter yang paling sukar untuk dibawakan.

“Bukannya Azhan Rani tidak pernah membawakan watak protagonis tetapi melalui angle Budak Ijad sendiri, untuk cerita Seribu tahun, tidak mudah dan sangat berbeza.

“Untuk pengalaman saya yang tidak berapa lama sangat menjadi pelakon, inilah karya paling susah dan paling lama saya bawakan.

“Penangan tajuk ini sendiri iaitu Seribu tahun, sudah cukup untuk membuktikannya, sekarang saya ada 900 tahun lagi untuk siapkan drama ini, ini watak paling susah.

“Saya tak boleh katakan bahawa ini watak paling baik atau bermakna. Kerana pengertian baik dan bermakna itu adalah untuk anda yang lihat dan tonton.

“Selepas ini, jika anda jumpa saya di mana mana dan ingat nama Syukri, maknanya saya tahu watak ini melekat dalam minda anda.

“Tapi kalau masih ada yang sebut Wan Jusoh atau Ustaz Madi, maknanya mungkin watak Syukri ini belum kuat untuk melekat dan memintas dua nama sebelum ini. Itu cabaran saya,” ujarnya.

Selain Azhan, Seribu Tahun dibintangi oleh Emma Maembong, Noorkhiriah, Ieda Moin, Didie Alias, Norreen Iman, Ashraf Muslim dan ramai lagi.

Seribu Tahun terbitan Radius One ini merupakan arahan Shahrulezad yang telah menghasilkan naskah hebat iaitu Khunsa.

Saksikan drama Seribu Tahun setiap Rabu dan Khamis, jam 9 malam di Astro Ria (saluran 104), juga boleh ditonton melalui Astro One dan sooka.

#Drama #Azhan Rani #Watak #Seribu Tahun